Kim Swee diberi peranan lebih besar di FAM

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee sah kekal bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kali ini diberi peranan lebih besar sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM.

FAM telah memberitahu pada bulan lalu bahawa kontrak Kim Swee yang berakhir pada hujung tahun 2019 tidak akan disambung, dipercayai kerana aksi buruk ditunjukkan di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina yang mana Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan.

Beliau bagaimanapun dilaporkan akan diberi peranan lain bersama badan induk itu dan selepas hampir tiga minggu memasuki tahun baru, peranan baru yang dimaksudkan itu terjawab dan Kim Swee jelas teruja dengan tugas barunya ini.

“Saya harap dengan adanya saya dalam unit ini, dapat membantu serba sedikit tentang pembangunan belia kita. Di peringkat pembangunan kita harus tahu ia memerlukan masa dan saya tidak akan berada di sini selama-lamanya, tetapi pembangunan pemain akan berlaku untuk masa yang panjang.

“Sebagai permulaan, saya akan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD), untuk merangka beberapa program pembangunan akar umbi.

“Saya akan bekerjasama dengan Saad (Ichalalene) untuk merangka beberapa program, mengikut hala tuju FAM, AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA. Semua program pembangunan belia memerlukan masa yang panjang,” katanya kepada media selepas sesi post morterm Sukan SEA 2019 melibatkan sukan bola sepak di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.

Sebagai rekod, Kim Swee telah membimbing skuad B-23 negara di lima edisi Sukan SEA bermula 2011 dan penampilan sulung itu kekal sebagai pencapaian terbaiknya apabila memenangi pingat emas dengan menewaskan tuan rumah Indonesia.

Dalam tempoh bersama skuad B-23 di antara 2011 – 2019, Kim Swee juga pernah membimbing pasukan senior kebangsaan sebagai pemangku jurulatih justeru pengalaman luasnya ini ditambah dengan kerjasama bersama NFDP diharap akan mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat berkualiti dan berpotensi besar.

Foto : FAM

Comments