MFL perkenal E-Piala Malaysia

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) bakal memperkenalkan pertandingan sukan elektronik (e-sports), E-Piala Malaysia bersempena saingan Piala Malaysia 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam, pihaknya sentiasa terbuka dan teruja untuk memperkenal pendekatan baru apatah lagi menyedari perkembangan e-sports semakin mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Justeru beliau mengakui MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sports.

“E-sports kini menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja di Malaysia ketika ini dan dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia. Aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah ia boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan. Selain itu kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan,” kata Kevin.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Gamesbond Muhammad Fazli Razak menjelaskan, pihaknya telah memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20.

“Kita telah senarai pendek dan memilih pemain-pemain e-sports berdasarkan ranking rasmi dan pencapaian antarabangsa yang terbaharu.

“Saya percaya bahawa kerjasama dengan MFL bukan sahaja membuka dimensi baharu dalam sukan elektronik tetapi sebaliknya ia turut menunjukkan Malaysia memiliki ramai pemain-pemain berpotensi tinggi,” ujarnya.

Comments