Lim Teong Kim: JDT landasan terbaik untuk pelatih NFDP meneruskan karier bolasepak

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia jelas mempunyai ramai pemain muda yang berbakat seperti yang ditunjukkan menerusi kejayaan skuad bawah 15 tahun negara menjuarai Piala AFF B-15 pada hari Jumaat lalu.

Namun, satu persoalan yang sering timbul adalah ke mana hala tuju pemain muda ini jika mereka mahu memilih kerjaya sebagai pemain bolasepak. Pemain-pemain ini sudah tentu memerlukan satu tempat di mana mereka boleh terus mempertingkat keupayaan mereka dan mempunyai satu jalan yang jelas untuk mereka mencapai kemuncak prestasi apabila meningkat dewasa kelak.

Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim dengan pengalaman luasnya bersama Bayern Munich menyatakan bahawa JDT adalah kelab yang terbaik jika pemain muda mahu meneruskan kerjaya sebagai pemain bolasepak.

“Johor Darul Ta’azim adalah tempat yang ideal untuk pelatih NFDP meneruskan latihan dan kerjaya mereka sebagai pemain bolasepak di Malaysia kerana tiada tempat lain yang lengkap dan profesional seperti JDT dan juga di Asia Tenggara.

Malah Teong Kim turut menyebut bahawa kolaborasi antarabangsa dengan pasukan-pasukan gergasi di Eropah memainkan peranan yang begitu besar dalam mencipta suasana terbaik untuk pemain-pemain muda terus berkembang. Kualiti fasiliti yang dimiliki oleh kelab itu turut dipuji oleh Teong Kim.

Baru-baru ini, JDT turut memperkasakan fasiliti latihan mereka dengan penambahan mesin Infrared Sauna Therapy yang bakal membantu proses pemulihan untuk pemain, disamping turut menambahbaikkan kekuatan fizikal pemain.

“JDT mempunyai kemudahan yang hebat, satu sistem yang baik daripada akademi sehingga pasukan senior dan mempunyai kerjasama baik dengan pasukan antarabangsa seperti Borussia Dortmund dan Valencia.

“JDT adalah satu-satunya kelab yang lengkap di Malaysia dan saya percaya mereka mempunyai persekitaran yang tepat untuk pemain Malaysia berjaya,” kata Teong Kim.

Teong Kim pernah melatih pemain yang berjaya memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia seperti Thomas Muller, Toni Kroos, Philipp Lahm dan Bastian Schweinsteiger ketika bertugas sebagai jurulatih skuad bawah 12 tahun Bayern Munich pada tahun 2000.

Comments