FAM guna kod QR pada tiket untuk Piala Airmarine dan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun

Pembaharuan yang tepat pada masanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa semua tiket bagi perlawanan antarabangsa minggu hadapan akan menggunakan sistem imbasan kod QR bagi kemasukan penonton ke stadium.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi satu siaran media hari ini.

“Sistem Kod QR ini akan mula dilaksanakan pada perlawanan persahabatan antarabangsa B-22, Malaysia bertemu Australia di Stadium Shah Alam pada hari ini, Ahad 17 Mac 2019, jam 8.45 malam. Sebarang kelemahan atau kekurangan sistem akan diuji pada perlawanan ini dan cuba untuk diatasi dan diperbaiki sebaik mungkin.

“Sistem ini kemudian akan diteruskan pada kejohanan antarabangsa empat negara, Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil iaitu dua perlawanan pada Rabu, 20 Mac 2019 – Oman lwn Afghanistan (4.30 petang) dan Malaysia lwn Singapura (8.45 malam) serta dua perlawanan pada Sabtu, 23 Mac 2019 – penentuan tempat ketiga/keempat (4.30 petang) dan final (8.45 malam).

“Seterusnya, ia turut akan membabitkan tiga hari perlawanan bagi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Stadium Shah Alam iaitu pada Jumaat, 22 Mac 2019 – China lwn Laos (4.30 petang) & Malaysia lwn Filipina (8.45 malam), Ahad, 24 Mac 2019 – Filipina lwn China (4.30 petang) & Laos lwn Malaysia (8.45 malam) dan Selasa, 26 Mac 2019 – Laos lwn Filipina (4.30 petang) & Malaysia lwn China (8.45 malam).”

Penyokong yang akan menghadiri kesemua perlawanan yang disebut digalakkan membuat pembelian secara online tetapi kaunter tetap akan dibuka bagi penyokong yang mahu membeli atau menukar tiket online kepada tiket fizikal.

Bagi Piala Airmarine 2019, tiket boleh didapati di laman web www.proticket.my dan bagi penyokong yang mahu membeli tiket perlawanan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun boleh mendapatkan tiket di laman web www.tickethotline.com.my. Tiket bagi Piala Airmarine berharga RM45 (grandstand), RM 35 (Terbuka), RM 25 (pelajar 7-18 tahun) dan setiap pembelian secara online akan dicaj RM10.

Bagi perlawanan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun pula, tiket berharga RM20 (dewasa), RM 5 (kanak-kanak 7-12 tahun). Setiap pembelian online akan dikenakan caj RM 3.69 (dewasa) dan RM 3.60 (kanak-kanak).

 

Kredit foto: FAM

Comments