‘Roket’ Safawi bantu Harimau Malaya tumpaskan Tajikistan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Skuad Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi pemanas badan menentang pasukan Tier 1, Tajikistan sebelum berdepan Thailand dan Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula Selasa depan.

Tan Cheng Hoe menguji beberapa pemain bagi perlawanan ini antaranya, Khairul Azhan Mohd Khalid, Baddrol Bakhtiar, Syamer Kutty Abba dan juga Syahmi Safari yang beraksi di posisi sayap berbanding bek seperti kebiasaan.

Syahmi Safari melakukan percubaan baik pada minit ke-7, tetapi berjaya dihalang oleh pemain pertahanan Tajikistan ketika penjaga gol mereka, Rustam Yatimov sudah terkeluar dari posisinya.

Khairul Azhan berjaya menepis percubaan pemain tengah Tajikistan Dzhalilov Alisher pada minit ke-18 ketika pemain pertahanan negara mula diasak. Separuh masa berakhir dengan 0-0, tetapi Tajikistan nampak lebih banyak mengasak berbanding skuad negara.

Kedudukan mula berubah di babak kedua apabila Penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah di awal permainan selepas dia didapati menggunakan tangan untuk menampan bola di luar kotak penalti.

Safawi Rasid akhirnya membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-72 menerusi satu rembatan cantik selepas Brendan Gan menghantar bola yang cantik untuk membuka ruang buatnya. Dia menewaskan pemain bek Tajikistan dan kemudian merembat kencang menewaskan penjaga gol Tajikistan, Qirghizboev Shohrukh.

 

Kredit foto: FAM

Comments