Player Rating: Harimau Malaya hambar di separuh masa pertama, lebih berbisa di separuh masa kedua

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ujian pemanas badan bagi anak buah Tan Cheng Hoe sebelum berdepan Thailand dan Indonesia. Aksi hambar di separuh masa pertama bertukar lebih rancak pada separuh masa kedua terutamanya selepas Tajikistan bermain dengan 10 orang apabila penjaga gol, Rustam Yatimov dibuang padang. Safawi Rasid menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Harimau Malaya.

Ini rating bagi pemain-pemain yang beraksi pada malam ini:

 

Khairul Azhan – 7/10

Berjaya menyelamatkan percubaan pemain tengah Tajikistan, Dzhalilov Alisher ketika pertahanan mula kelam kabut di separuh masa pertama. Kurang diuji di separuh masa kedua selepas Tajikistan beraksi dengan 10 orang pemain.

Matthew Davies – 5/10

Banyak mendapat bantuan daripada Syahmi Safari, tetapi gandingan dua pemain ini di sebelah kanan tidak nampak begitu serasi. Kurang melakukan hantaran dari bahagian sayap seperti biasa. Digantikan dengan Safawi Rasid pada minit ke-61.

Shahrul Saad – 7/10

Ada masanya Shahrul terlalu ‘adventurous’ dan suka mara ke depan, meninggalkan Aidil berseorangan di belakang. Ini boleh mengundang bahaya. Beraksi lebih baik di separuh masa kedua.

Aidil Zafuan – 5/10

Selaku ketua pasukan dan antara pemain berpengalaman, Aidil seharusnya lebih bersuara untuk mengatur pemain ketika bertahan. Di separuh masa pertama, beberapa kali barisan pertahanan bocor dan dilihat seakan-akan tidak senada ketika bertahan. Digantikan dengan Adam Nor Azlin pada minit ke-61.

Corbin Ong – 6/10

Lebih banyak membuat larian overlap berbanding Matthew Davies. Sesekali bergandingan dengan Akhyar, tetapi nampak dia lebih serasi jika beraksi dengan Safawi. Perlu berhati-hati dengan pemain yang pantas kerana beberapa kali dia dilepasi pemain sayap Tajikistan. Digantikan dengan Syazwan Andik pada minit ke-66.

Baddrol Bakhtiar – 4/10

Diharap untuk cuba mengatur permainan dari belakang dan membantu melindungi pertahanan. Tetapi tidak memberikan impak yang diharapkan dan beberapa kali Tajikistan dapat menembusi barisan tengah dan mengasak pertahanan di separuh masa pertama. Digantikan dengan Brendan Gan di separuh masa kedua.

Syamer Kutty Abba – 5/10

Apakah posisi sebenar Syamer? Adakah dia pemain yang diharapkan untuk bergerak dari kotak ke kotak? Adakah dia diharapkan membantu Baddrol untuk melindungi barisan pertahanan? Adakah dia diharap dapat membantu Syafiq di bahagian serangan? Semuanya tidak dilakukan dengan baik oleh Syamer di separuh masa pertama. Hanya di separuh masa kedua baru Syamer nampak lebih baik, tetapi setakat ini belum cukup meyakinkan untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Thailand.

Nor Azam Azih – 6/10

Pemain yang diharapkan memberikan kreativiti terutamanya ketika menyerang, tetapi sayangnya tidak begitu menjadi dalam perlawanan ini. Selepas Badd dikeluarkan, Azam bermain lebih ke bawah dan dia banyak menghantar bola ke depan

Syahmi Safari – 6/10

Beraksi sebagai pemain sayap berbanding bek seperti kebiasaan. Memberikan lebih perlindungan kerana banyak bertahan, tetapi tidak banyak memberikan pilihan ketika menyerang. Kemasukan Safawi membolehkan Syahmi kembali ke posisi bek.

Akhyar Rashid – 6/10

Antara pemain yang mencuba untuk menembusi pertahanan Tajikistan. Dengan skill dan kelajuannya, dia mampu memberikan bahaya kepada pertahanan Tajikistan. Tetapi, Akhyar perlu banyak belajar lagi untuk membuat keputusan bila dia perlu menggelecek, bila perlu merembat dan bila dia perlu menghantar bola kepada rakan sepasukan. Digantikan dengan Farhan Roslan pada minit ke-70.

Syafiq Ahmad – 6/10

Sukar untuk Syafiq cuba mengasak benteng pertahanan Tajikistan tanpa bantuan daripada rakan sepasukan ketika separuh masa pertama. Biarpun begitu, dia tetap mencuba dan beberapa kali dapat membawa bola sehingga ke kotak pertahanan Tajikistan, tapi sayang sekali rakan sepasukan tidak berada di posisi yang diharapkan. Lebih baik di separuh masa kedua. Ditukarkan dengan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-77.

 

Pemain simpanan

Brendan Gan

Masuk menggantikan Baddrol Bakhtiar di separuh masa kedua. Barisan tengah nampak lebih bertenaga selepas kemasukan Brendan.

Safawi Rasid

Masuk menggantikan Matthew Davies pada minit ke-61. Sentuhan pertamanya menggegarkan palang Tajikistan. Memberikan bisa di serangan Malaysia dan menjaringkan gol menerusi rembatan yang cukup cantik pada minit ke-72.

Adam Nor Azlin

Masuk menggantikan Aidil Zafuan pada minit ke-61.

Syazwan Andik

Masuk menggantikan Corbin Ong pada minit ke-66.

Farhan Roslan

Menggantikan Akhyar Rashid pada minit ke-70.

Norshahrul Idlan Talaha

Masuk menggantikan Syafiq Ahmad pada minit ke-77.

 

Kredit foto: FAM

Comments