Kami gagal capai tahap yang diinginkan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Salahkan diri sendiri.

Itulah yang dikatakan oleh pertahanan skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas skuad negara tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, semalam.

Skuad negara nampak buntu untuk menyerang kubu Vietnam dan dikejutkan dengan jaringan tunggal perlawanan daripada Nguyen Quang Hai pada minit ke-40, sekaligus meleburkan harapan skuad negara untuk membalas dendam kekalahan di perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Bagi Aidil, tiada alasan lain selain kesemua pemain perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak beraksi baik dalam perlawanan tersebut sehingga membolehkan Vietnam mengancam mereka.

“Mungkin ada sesetengah pemain gugup dan Vietnam tidak beri peluang langsung kepada kita untuk jaringkan gol. Secara tidak langsung membuatkan kami buntu.

“Kita tidak boleh beri alasan faktor padang kerana Vietnam pun main tempat sama. Tidak ada alasan lain kecuali kita gagal sampai tahap yang diinginkan,” kata Aidil seperti dilaporkan Berita Harian.

Malaysia kini jatuh ke tangga keempat Kumpulan G, satu mata di belakang Vietnam yang mengutip empat mata. Malaysia kini perlu mencari kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia di laman sendiri pada bulan November nanti untuk cuba kekal hidup dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia dan Piala Asia.

Indonesia kekal di tangga terbawah selepas dibelasah pendahulu kumpulan UAE 5-0.

 

Kredit foto: Kamarul Akhir | asiana.my – All Sports Images And News Agency

 

Comments