Skuad bawah 19 uji kehebatan menentang UAE

Khairul Nizam Khairul Nizam

Skuad bawah 19 tahun negara nampaknya kini sedang berada di peringkat terakhir untuk mempersiapkan diri bagi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 19 tahun  di Kemboja yang akan berlangsung dari 2-10 November ini.

Anak buah Brad Maloney yang mengadakan sesi latihan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan berdepan skuad muda negara berkenaan  bagi menguji tahap kebolehan pasukan dan menilai kefahaman taktikal pemain. Dua perlawanan yang sudah diatur itu akan berlangsung pada hari Selasa dan Khamis depan.

“Kita sedang berusaha mengukuhkan kekuatan pasukan dengan melihat dan menilai kemampuan setiap pemain dengan cara atau gaya falsafah kita nanti.

“Ia penting kerana kita mahu pemain boleh beraksi dengan cara yang kita mahu pada kelayakan AFC itu nanti,” kata Maloney seperti dilaporkan Harian Metro.

Skuad muda negara sebelum ini telah menunjukkan persembahan baik di Piala AFF Bawah 19 tahun yang berlangsung di Vietnam pada bulan Ogos lalu. Mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan permainan menarik, tetapi akhirnya tewas dalam perlawanan akhir 1-0 kepada skuad muda Australia

Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan G bagi kempen kelayakan kali ini bersama tuan rumah Kemboja, Thailand, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara. Juara kumpulan dan empat pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke kejohanan peringkat akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 14-31 Oktober tahun depan.

 

Kredit foto: FAM

Comments