Player Rating: Malam yang mengecewakan untuk barisan serangan Malaysia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Pada tahun lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tewas kedua-dua perlawanan menentang Vietnam di Hanoi. Kali ini Malaysia datang dengan semangat dan misi berbeza. Mencuri mata untuk memastikan misi ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 terus hidup.

Nampaknya sekali lagi Tan Cheng Hoe sukar mengatasi taktik yang direncana oleh Park Hang-seo. Malaysia tewas 1-0 kepada Vietnam dan barisan serangan negara sukar mengatasi barisan pertahanan Vietnam yang cukup berdisiplin. Ini rating bagi pemain-pemain Malaysia.

 

Farizal Marlias – 5/10

Gol yang mudah untuk dilepaskan oleh Farizal. Dia patut memberi arahan kepada barisan pertahanan untuk berwaspada dengan pemain serangan Vietnam dan tidak sepatutnya tewas di ‘near post’. Ada masanya yang Farizal membuatkan pasukan cemas seketika kerana dia gemar berlari keluar dari kawasannya untuk menghalang serangan Vietnam.

Matthew Davies – 6/10

Vietnam nampak banyak mensasarkan serangan di bahagian Matt Davies. Tidak dapat membuat hantaran lintang seperti biasa ketika melakukan overlap.

Shahrul Saad – 6/10

Untuk gol Quang Hai, sukar untuk Shahrul mengagak larian pemain itu kerana dia berlari di belakangnya.  Tetapi ketika itu, Shahrul dan Aidil dilihat ‘ball watching’ dan tidak menyedari di mana posisi pemain Vietnam. Dengan Vietnam banyak menyerang di sebelah kanan, Shahrul perlu banyak bersedia untuk membantu Matt Davies. Melakukan tindakan bijak dan pantas untuk cepat berada di garisan gol bagi membuang bola yang sudah menuju ke dalam gawang ketika Farizal sudah tertewas.

Mohamad Aidil Zafuan – 7/10

Aidil menunjukkan pengalamannya dalam perlawanan ini. Dia dapat membaca arah serangan Vietnam dan beberapa kali melakukan bentesan tepat untuk mematikan serangan mereka.

Corbin Ong – 6/10

Lontaran jauh Corbin menjadi senjata baru buat Malaysia. Lebih mendapat peluang untuk membuat overlap berbanding Matt Davies.

Brendan Gan – 6/10

Dengan adanya Halim, mungkin Brendan diharapkan akan lebih ke depan. Tetapi corak permainan Vietnam yang suka melambungkan bola tinggi, Brendan terpaksa berada lebih ke bawah untuk membantu merebut bola di udara.

Halim Saari – 6/10

Bertugas melindungi barisan pertahanan, tetapi sukar untuk Halim kerana sering diasak oleh barisan tengah Vietnam yang cukup laju. Dia perlu merebut bola di udara.

Mohamadou Sumareh – 5/10

Malam yang mengecewakan untuk Sumareh. Kawasan sebelah kanan Malaysia nampak sedikit mengecewakan dalam permainan ini. Sumareh tidak begitu efektif ketika menyerang kerana Vietnam begitu berdisiplin ketika bertahan. Berbeza dengan perlawanan menentang Indonesia, Sumareh tidak dapat melindungi bola dengan baik.

Syafiq Ahmad – 6/10

Syafiq berkerja keras tetapi Vietnam tahu bahaya pemain ini lalu memastikan dia sentiasa dikawal rapi. Cuba mencari jalan untuk membuka pertahanan Vietnam, tetapi Vietnam langsung tidak memberi ruang dan rakan sepasukan nampak tidak membantunya dengan baik.

Safawi Rasid – 5/10

Sama seperti Sumareh, Safawi kurang efektif dalam perlawanan ini. Dikawal ketat oleh pertahanan Vietnam, Safawi sukar melepaskan diri dan melakukan apa-apa untuk membantu barisan serangan Malaysia. Pertahanan Vietnam juga nampak sudah dapat membaca gerakan serangan Safawi.

Norshahrul Idlan Talaha – 5/10

Dengan Vietnam bermain tiga pemain pertahanan tengah, sukar untuk Norshahrul melakukan tugas terutamanya dengan barisan serangan yang nampak terlalu terdesak. Vietnam memastikan ada tiga pemain berdekatan dengan pemain serangan Malaysia yang mendapat bola, jadi mudah untuk mereka menutup ruang Norshahrul untuk menggelecek melepasi mereka atau membuat hantaran.

 

Pemain Simpanan:

Akhyar Rashid

Masuk menggantikan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-56. Memberikan tenaga kepada serangan tetapi sukar menembusi barisan pertahanan Vietnam.

Syahmi Safari

Masuk menggantikan Matt Davies pada minit ke-90.

 

Kredit foto: Kamarul Akhir | asiana.my – All Sports Images And News Agency

Comments