Hati-hati dengan barisan serangan Malaysia – Park Hang-seo

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo sebelum ini telah beberapa kali meminta anak buahnya berwaspada dengan ancaman Malaysia menjelang perlawanan di antara kedua-dua pasukan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi esok.

Dia sekali lagi mengulanginya dengan menyatakan bahawa Malaysia telah bertambah baik di bahagian serangan dan tugas berat menanti anak buahnya esok.

“Malaysia telah banyak meningkat sejak 2018, pasukan mereka lebih baik sekarang. Mereka mempunyai lebih ramai pemain serangan dan bertambah baik di bahagian tengah. Kami perlu berhati-hati dengan ketangkasan mereka di bahagian tengah. Kami juga perlu berwaspada dengan ancaman mereka di bahagian sayap. Mereka mempunyai pemain-pemain yang laju di bahagian itu. Apa yang penting, kami perlu berhati-hati dengan pasukan Malaysia ini kerana mereka telah menjaringkan gol yang banyak sejak kebelakangan ini,” kata ketua jurulatih Vietnam itu dalam sidang media pra-perlawanan kedua-dua pasukan hari ini.

Malaysia tidak berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan berdepan Vietnam di Hanoi pada musim lalu dengan keputusan 2-0 dan 1-0. Tetapi dalam kempen kelayakan kali ini, Malaysia sudah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan ketika berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe pastinya semakin bernafsu selepas membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober lalu.

Comments