FIFA denda PSSI RM190 ribu ekoran kekacauan ketika perlawanan menentang Malaysia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengenakan hukuman denda bernilai RM190 ribu kepada Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) ekoran kekecohan yang berlaku ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada 5 September yang lalu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu, penyokong Indonesia telah dilihat cuba melakukan kekacauan kepada penyokong Malaysia yang hadir ke perlawanan tersebut. Beberapa rakaman video yang tular di media sosial telah menunjukkan penyokong Indonesia membaling objek ke arah penyokong Malaysia.

Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha telah mengesahkan bahawa mereka menerima hukuman itu dan berhadap tidak akan ada lagi kekacauan yang berlaku disebabkan penyokong skuad Garuda.

“PSSI menghormati keputusan dan hukuman yang diberikan oleh FIFA. Kami akan segera memenuhi kewajipan kami dan menilai semula apa yang berlaku supaya ianya tidak akan berulang lagi.

“Bolasepak sepatutnya menjadi elemen penyatuan, mempromosikan kepelbagaian budaya dan menanam sikap saling menghormati di antara satu sama lain,” kata Ratu Tisha di laman web rasmi PSSI.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-2 selepas Mohamadou Sumareh berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Malaysia.

Indonesia kini berada di tangga tercorot Kumpulan G selepas tewas dua perlawanan mereka, menentang Malaysia dan Thailand. Skuad Garuda akan menerima kunjungan Vietnam pada 15 Oktober ini tetapi PSSI telah menukar gelanggang dengan memilih Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali sebagai lokasi perlawanan.

 

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

 

 

 

Comments