Malaysia sudah semakin kuat berbanding di Piala AFF

Khairul Nizam Khairul Nizam

Waspada atau permainan psikologi?

Biarpun berjaya mencatat kemenangan ke atas Malaysia dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu, pemain tengah Vietnam, Do Hung Dung tau bahawa Malaysia kini pasukan yang berbeza berbanding 10 bulan yang lalu.

Dengan Malaysia membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berangkat ke Hanoi, Hung Dung merasakan itu akan memberikan kesan positif kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang pasukan mereka hari Khamis ini.

“(Perlawanan menentang Sri Lanka) Ia akan membantu mereka mendapat semangat untuk menang.

“Ianya jelas bahawa Malaysia sudah semakin kuat berbanding di Piala AFF pada tahun lalu. Kami perlu berhati-hati dalam perlawanan menentang mereka nanti,” kata Hung Dung seperti dilaporkan vnexpress.net.

Namun begitu, Hung Dung tetap yakin dengan keupayaan pasukannya yang berjaya mengikat Thailand 0-0 di Bangkok dalam perlawanan pertama mereka bulan lalu.

“Vietnam juga merupakan pasukan kuat, dan apa yang bagus adalah kerana kami bermain di laman sendiri, dengan sokongan padu daripada penyokong kami di seluruh negara.”

 

Comments