Tan Cheng Hoe mahu pemain fokus dapatkan keputusan positif

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ayuh sasarkan keputusan positif.

Itulah yang dimahukan oleh ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Vietnam di Hanoi pada hari Khamis ini.

Dua perlawanan Malaysia berdepan Vietnam sebelum ini di Hanoi dalam Piala AFF Suzuki, tidak mencatat keputusan positif di mana Malaysia kalah dalam kedua-dua perlawanan.

“Bertandang ke Vietnam bukan satu tugas mudah, tetapi saya hendak pemain bermain sekali lagi dengan penuh keyakinan dan kena fokus untuk dapatkan satu keputusan positif, supaya cabaran kita lebih mudah selepas ini,” jelas Tan Cheng Hoe seperti dilaporkan Bernama.

Berdasarkan dua perlawanan sebelum ini juga, Tan Cheng Hoe tahu bahawa anak buahnya perlu berjaga-jaga dengan serangan balas pantas Vietnam seperti yang mereka lakukan dalam dua perlawanan tersebut. Dia juga pastinya mengharapkan keputusan positif ke atas Sri Lanka akan dapat menaikkan semangat pemainnya untuk mendapatkan kemenangan di tempat lawan.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan G bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas mencatat kemenangan ke atas Indonesia di Jakarta tetapi tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil pada bulan lalu.

Vietnam pula berada di tangga keempat selepas seri 0-0 dengan Thailand di Bangkok dalam satu-satunya perlawanan kelayakan mereka bulan lalu. Selepas berdepan Malaysia, Vietnam akan berdepan Indonesia di Bali pada 15 Oktober nanti.

 

Kredit foto: FAM

Comments