FAM sudah hantar aduan kepada FIFA berkenaan insiden di Jakarta

Khairul Nizam Khairul Nizam

Aduan sudah dihantar.

Itulah yang diungkapkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika Harimau Malaya beraksi menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu.

Dalam satu laporan Berita Harian, Stuart mengesahkan bahawa FAM sudah menghantar aduan setebal 18 muka surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan kejadian buruk itu.

“Laporan atau aduan yang kami buat ini untuk perhatian FIFA yang mana ada perkara yang mungkin tiada dalam laporan yang mereka terima daripada komisioner perlawanan dan pegawai keselamatan.

“Antara bukti yang kami sertakan dalam aduan itu termasuk pautan (link) video dan gambar insiden terbabit sama ada yang berlaku di dalam dan luar stadium.

“Bukti itu kami dapat daripada beberapa sumber termasuk video yang tersebar di media sosial. Kami percaya FIFA dan AFC akan membuat keputusan terbaik berdasarkan penilaian mereka berdasarkan bukti yang ada.”

Pada malam 5 September itu, perlawanan terpaksa dihentikan sementara selepas ada insiden melibatkan penyokong Indonesia yang berjaya memasuki kawasan trek dan menuju ke arah penyokong Malaysia. Beberapa video turut menunjukkan penyokong Indonesia membaling objek ke arah penyokong Malaysia dan mereka juga terpaksa dibawa berlindung selepas perlawanan bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.

Comments