Penyokong cilik terima kejutan daripada Mohamadou Sumareh

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kemenangan Malaysia ke atas Indonesia pada 5 September lalu melahirkan pelbagai reaksi daripada penyokong tempatan terutamanya di media sosial.

Pastinya ramai masih ingat video seorang anak kecil yang begitu teruja dengan jaringan kemenangan Mohamadou Sumareh pada minit ke-97 yang tular di media sosial.

Persatuan Bolasepak Malaysia telah membuat kejutan kepada kanak-kanak yang bernama Omar Bin Saiful Razman sebagai tanda penghargaan kepada sokongan yang diberikannya.

Omar, 8 tahun yang juga anak kepada pelakon tempatan, Nadiya Nisaa menerima kejutan daripada pemain kesayangannya itu dan juga Farizal Marlias yang datang untuk bertemunya.

Dalam satu video yang dimuat naik oleh FAM menunjukkan bagaimana Omar terkedu dan teruja apabila dapat bertemu Sumareh.

“Saya melihat video awak dan saya rasa sungguh gembira. Terima kasih kerana menyokong. Kini saya dan keluarga saya menyokong awak juga,” gurau Sumareh kepada Omar dalam video itu.

Semangat Omar sangat diperlukan oleh Sumareh dan rakan sepasukannya pada hari Selasa nanti ketika Malaysia berdepan cabaran terbesar mereka, menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 

Kredit foto: FAM

Comments