Masa untuk padam mimpi ngeri 3 September 2015

Khairul Nizam Khairul Nizam

3 September 2015.

Satu memori yang cukup memedihkan buat Harimau Malaya. Memang ketika itu jurang di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu cukup besar, tetapi lima tahun selepas kejayaan Piala AFF Suzuki, tiada siapa menyangka kita akan dimalukan sebegitu rupa.

Pastinya ramai yang masih ingat perlawanan itu. Harimau Malaya lunyai dibelasah 10-0 oleh UAE, dengan penyerang mereka Ahmed Khalil berpesta dengan empat gol. Ini diikuti Ali Ahmed Mabkhout dengan tiga gol, Mohanad Salem penjaring gol pertama mereka pada mini ke-16 dan satu gol masing-masing daripada Habib Fardan dan Mohamed Ahmed.

Malaysia yang ketika itu dikendalikan oleh Dollah Salleh menggunakan dua daripada tiga pertukaran yang dimiliki untuk menukar penjaga gol. Kita memulakan permainan dengan Khairul Fahmi Che Mat dan selepas bolos empat gol, Mohd Zamir Selamat dimasukkan pada minit ke-28. Bolos tujuh gol pada separuh masa pertama, Khairul Azhan pula dibawa masuk pada minit ke-62 untuk cuba menghalang UAE menambah luka. Namun tetap kita gagal menghalang mereka untuk menang 10-0.

Sehari selepas insiden memalukan itu, Dollah Salleh yang memegang jawatan ketua jurulatih Malaysia ketika itu meletakkan jawatan. Datuk Ong Kim Swee memangku jawatan ketua jurulatih buat sementara waktu sebelum Nelo Vingada dilantik untuk mengendalikan Harimau Malaya.

Empat tahun kemudian, kita akan berdepan lawan yang sama di laman kita sendiri. UAE berada di tempat ke-65 dalam kedudukan FIFA, sementara kita berada di tempat ke-159. Masih jauh jurang kita dengan UAE tetapi pastinya kita mempunyai semangat yang berbeza.

Di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, kita berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF di mana juara bertahan Thailand ditakluk di bumi sendiri. Kita berjaya menewaskan seteru kuat, Indonesia di Gelora Bung Karno dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia ini. Pastinya pemain-pemain sedang berada di motivasi tertinggi menjelang perlawanan bertemu UAE.

Apa yang berlaku tidak boleh kita lupakan, tetapi kita perlu jadikan teladan. Jadikan sejarah hitam 10-0 itu untuk membakar semangat dan cuba mencipta kejutan. Ini adalah masanya untuk Harimau Malaya memperbaiki kesilapan empat tahun lalu dan tunjukkan pada dunia bahawa kita sudah semakin mantap!

 

Photo credit: FAM

Comments