FAM sudah jumpa AFC berhubung insiden ketika perlawanan Indonesia vs Malaysia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ekoran kekecohan yang berlaku ketika perlawanan di antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya telah mengambil langkah pertama untuk membuat aduan.

FAM dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial rasmi mereka telah mengesahkan bahawa mereka telah berjumpa dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung insiden berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin telah bertemu dengan wakil-wakil dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam di AFC House, Bukit Jalil untuk mengesahkan hasrat persatuan bagi membuat laporan kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan insiden yang berlaku ketika perlawanan berkenaan.

AFC, yang diwakili oleh Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium, Brian Johnson, Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadia, Shahin Rahmani dan Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan & Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong mengesahkan bahawa laporan oleh Pegawai Komisioner Perlawanan FIFA dan Pegawai Keselamatan FIFA perlawanan tersebut telah dihantar ke FIFA untuk penilaian dan tindakan mereka.

Dalam perlawanan di antara Malaysia dan Indonesia, beberapa insiden telah berlaku melibatkan penyokong Indonesia. Dilaporkan penyokong Malaysia telah dilempar dengan batu, botol dan bom asap serta terpaksa berlindung di dalam stadium selepas perlawanan bagi mengelakkan insiden menjadi bertambah buruk.

 

Kredit foto: FAM

Comments