“Layan tetamu dengan akhlak yang baik” – pesan Mufti KL kepada penyokong Harimau Malaya

Khairul Nizam Khairul Nizam

Layanlah tetamu dengan baik.

Itulah pesanan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada semua penyokong Harimau Malaya.

Selepas kekacauan yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno yang membuatkan ramai penyokong Malaysia terpaksa dilindungi pihak berkuasa, Dr. Zulkifli menasihatkan agar penyokong Malaysia tidak melakukan perkara yang sama dan memberi layanan yang terbaik kepada pemain dan penyokong pasukan lawan yang bertandang ke Malaysia.

“Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai Tuan Rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti. Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya Allah,” tulis Dr. Zul di laman rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau juga memberi pujian dan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya menumpaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan di Jakarta semalam. Beliau juga turut memberi ulasan sedikit berkenaan persembahan skuad negara dalam perlawanan itu.

Malaysia akan menerima kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan seterusnya pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Hasil kemenangan ke atas Indonesia membolehkan Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan G bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

 

 

 

Comments