Penyokong Malaysia terpaksa diberi perlindungan selepas perlawanan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketika kemenangan Malaysia terus meniti di bibir penyokong Malaysia, ada yang tidak manisnya berlaku di Jakarta.

Kekacauan dilihat berlaku ketika perlawanan berlangsung yang dihadapi bukan sahaja oleh pemain tetapi juga penyokong Harimau Malaya yang bertandang ke Gelora Bung Karno.

Beberapa video yang tersebar di laman sosial menunjukkan penyokong Indonesia membaling botol dan juga bom asap ke arah penyokong Malaysia.

Turut menjadi mangsa adalah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berada bersama penyokong Malaysia di stadium tersebut.

Penyokong Malaysia juga terpaksa dibawa ke bilik perlindungan selepas perlawanan kerana dikhuatiri menjadi sasaran penyokong Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka. Penyokong Malaysia turut dilaporkan dibaling batu ketika mahu masuk ke stadium sebelum perlawanan.

Skuad Harimau Malaya menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan yang cukup epik di Stadium Gelora Bung Karno. Mohamadou Sumareh menjaringkan dua gol dan satu gol daripada Syafiq Ahmad memberikan tiga mata pertama buat Malaysia dalam aksi Kumpulan G peringkat Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

 

Kredit foto: Twitter GIBLO Official

Comments