Lima Perkara: Harimau Malaya tawan Indonesia di Gelora Bung Karno

Khairul Nizam Khairul Nizam

Perseteruan panas dan dinanti. Aksi pertama peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Gelora Bung Karno tidak lagi bergelora apabila Malaysia berjaya bangkit untuk menewaskan seteru kuat mereka, 3-2 menerusi dua jaringan Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad. Ini lima perkara berkenaan perlawanan tadi.

 

1. Tiada Akram dan Sumareh dalam kesebelasan utama

Satu kejutan dalam kesebelasan utama Malaysia. Biarpun sering dianggap sebagai ‘enjin’ pasukan negara, Akram Mahinan diletakkan di bangku simpanan. Tan Cheng Hoe memberikan kepercayaan kepada Brendan Gan, Nor Azam Azih dan Syafiq Ahmad. Selain itu, Sumareh yang dijangka diturunkan selepas tidak beraksi ketika bertemu Jordan juga berada di bangku simpanan dengan Hadin Azman beraksi bersama Norshahrul Idlan Talaha dan Safawi Rasid untuk cuba memecah benteng pertahanan Indonesia. Tiada kejutan di barisan pertahanan dengan Matthew Davies, Shahrul Saad, Adam Nor Azlin dan Corbin Ong akan cuba sedaya upaya melindungi Farizal Marlias.

Agak menarik untuk dilihat apabila Tan Cheng Hoe bagaikan memberikan peranan Akram kepada Syafiq Ahmad. Syafiq yang sering diletakkan beraksi di belakang penyerang nampak bertugas memastikan bola sentiasa bergerak bagi pasukan negara. Brendan pula nampak beraksi lebih ke bawah untuk membantu bertahan.

 

2. Beto manfaatkan kelalaian pertahanan Malaysia

Indonesia nampaknya memberikan lebih penumpuan kepada sebelah kanan Malaysia. Menyedari bahaya yang dibawa oleh gandingan Safawi Rasid dan Matthew Davies, mereka meletakkan Ricky Fajri dan Manahati Lestusen untuk memberi kawalan ketat. Malaysia nampak bergelut setiap kali Indonesia menyerang dari bahagian tepi. Beberapa kali pertahanan Malaysia tertarik ke sebelah tepi, meninggalkan ruang yang besar di bahagian tengah. Brendan Gan yang diharapkan memberi perlindungan kepada pertahanan beberapa kali berada terlalu jauh daripada Shahrul dan Adam.

Kelalaian di barisan pertahanan Malaysia dihukum pada minit ke-12. Barisan pertahanan Malaysia nampak terlalu tertumpu kepada Saddil Ramdani sehinggakan dua pemain Indonesia, termasuk Beto Goncalves berada di hadapan Shahrul Saad dan Matthew Davies. Beto bijak membuat larian mengelirukan ketika Shahrul dan Adam terlalu fokus kepada Saddil.

Menyedari Hadin Azman tidak begitu efektif, Tan Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan Mohamadou Sumareh. Sentuhan pertamanya mengatasi pertahanan Indonesia, dan sentuhan keduanya dia berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-37. Ketika kita masih lagi menyambut jaringan itu, sekali lagi satu kesilapan di barisan pertahanan memberikan Indonesia kelebihan sekali lagi. Bola dirampas daripada Matthew Davies dan sekali lagi Beto menghukum kesilapan Malaysia dengan rembatan dari luar kotak penalti.

 

3. Harimau Malaya lebih garang di separuh masa kedua

Separuh masa kedua bermula dengan Malaysia lebih banyak mengasak. Mendahului 2-1, Indonesia nampak mahu bermain secara bertahan dan cuba menghukum Malaysia menerusi serangan balas pantas. Separuh masa kedua nampak sedikit berbeza dengan Syafiq Ahmad bermain lebih rapat dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian hadapan. Syafiq Ahmad biarpun tidak mempunyai fizikal yang besar, tetapi bijak mencari ruang ketika situasi bola di udara. Itulah yang dilakukan olehnya pada minit ke-66 apabila dia menyelinap di belakang Lilipaly untuk menyamakan kedudukan buat Malaysia.

 

4. Kekacauan tidak mengganggu mental pemain

Sayang sekali ketika Malaysia sudah mula mendapat rentak, perlawanan terpaksa dihentikan kerana berlaku kekacauan di kawasan penonton. Indonesia dapat menarik nafas dan cuba mencari jalan untuk menghentikan Malaysia. Menyedari pemain Indonesia mula penat, Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid dan Syamer Kutty untuk memberikan lebih tenaga. Larian pantas dan kelicikan Akhyar menekan Yustina Paew di bek kanan Indonesia, sementara Syamer memberikan masalah kepada Manahati Lestusen dengan ketinggiannya sekaligus membiarkan Sumareh dan Safawi untuk membuli Hansamu Yama. Taktik itu benar-benar menjadi apabila pertahanan Indonesia yang terpaksa memberi perhatian kepada Syamer terpana dengan larian Sumareh apabila Matt Davies melintangkan bola di masa tambahan, terus ditolak Sumareh untuk memberikan gol kemenangan buat Malaysia.

 

5. Sumareh jadi watak penting buat Malaysia

Pujian perlu diberikan kepada anak buah Tan Cheng Hoe kerana menunjukkan kekuatan mental untuk bangkit kembali di separuh masa kedua selepas melakukan beberapa kesilapan di separuh masa pertama. Dapat dilihat bagaimana Malaysia benar-benar menguasai di separuh masa kedua dengan Farizal Marlias tidak banyak perlu menyelamatkan gawangnya. Malaysia lebih membuka Indonesia di separuh masa kedua dan mula menekan dua bek Indonesia. Pemain sayap Indonesia juga kurang memberi bantuan kepada bek mereka dengan Corbin dan Matt Davies lebih banyak melakukan overlap.

Mohamadou Sumareh layak disebut sebagai pemain terbaik Malaysia dalam perlawanan ini, bukan sahaja kerana menjaringkan dua gol. Menggantikan posisi Norshahrul sebagai penyerang, dia berjaya membuli pertahanan Indonesia dengan kekuatan fizikalnya. Dia juga memberi pilihan kepada Malaysia untuk menghantar bola tinggi kerana dia mampu bermain membelakangi gol dan menarik rakan-rakannya untuk menyerang. Dua pemain pertahanan tengah diperlukan untuk menghalang Sumareh dengan seorang menjaga rapat dan seorang lagi bersedia untuk merebut bola kedua. Ini membuka ruang yang cukup besar, dan dengan pemain seperti Safawi dan Akhyar membantu, itu adalah satu kesilapan yang cukup besar.

Tiga mata dalam perlawanan pertama dan seterusnya Tan Cheng Hoe akan berdepan lawan yang lebih sukar, UAE, 10 September ini. Jika Malaysia boleh mengatasi kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan ini, mungkin kita mampu mengejutkan UAE.

 

PHOTO BY: HAZRIN MOHD ZAIDUN/ASIANA.MY

Comments