“Janji saya adalah jadikan padang Stadium Bukit Jalil yang terbaik di Asia ” – Tan Sri Tony Fernandes

Khairul Nizam Khairul Nizam

Sebelum ini Kuala Lumpur Sports City (KLSC) pernah dikatakan akan menjadi ‘Wembley Malaysia’. Mungkinkah kita akan dapat melihat padang yang setaraf stadium tersohor di England itu selepas ini?

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes telah berjanji bahawa padang Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi padang terbaik di Asia.

“Sebenarnya (padang SNBJ) tidaklah terlalu teruk dan kita akan terus berusaha menjadikannya semakin baik. Tetapi ia pasti mengambil masa yang lama.

“Kami akan pantau kualiti dan akan melihat kepada padang di negara jiran kita yang cuaca sama dengan kita.

“Janji saya adalah jadikan padang ini yang terbaik di Asia. Jangan gelak, ini saya serius,” kata Tony.

Tony Fernandes berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Stadium Bukit Jalil secara rasminya akan menjadi ‘rumah’ buat pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan rasmi dengan beberapa pembaharuan turut dicadangkan seperti pembinaan Muzium Harimau Malaya dan juga Kedai Rasmi Harimau Malaya.

 

Kredit foto: FAM

Comments