Pemain dengan pengalaman beraksi di Liga Malaysia mungkin jadi sandaran Indonesia berdepan Harimau Malaya

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kehangatan pertembungan di antara dua negara berjiran ini pastinya sudah mula dirasai.

Malaysia vs Indonesia sememangnya satu perlawanan yang akan sentiasa hangat dan menjadi perhatian bagi penyokong kedua-dua negara.

Nampaknya skuad Garuda sudah mula mengumumkan barisan pemain yang bakal menyertai kem latihan pusat dengan beberapa nama yang sudah pernah beraksi di Liga Malaysia diumumkan dalam skuad awal.

Ketua jurulatih Indonesia, Simon Mcmenemy telah memanggil 24 pemain untuk menyertai latihan pusat Indonesia di Stadium Pakansari, Bogor pada 21 Ogos ini.

Antara pemain-pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia adalah seperti Evan Dimas yang beraksi untuk Selangor musim lalu dan Andik Vermansah yang juga pernah beraksi untuk Red Giants sebelum beraksi satu musim bersama Kedah pada musim lalu. Seorang lagi pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia adalah bekas penyerang Kelantan, Ferdinand Sinaga yang sempat beraksi beberapa perlawanan di awal musim sebelum kembali ke PSM Makassar.

Menurut Simon, dia mahukan pemainnya memberikan disiplin dan tumpuan lebih dari segi bertahan.

“Dua pertandingan awal kami adalah derbi setempat, di mana kuncinya nanti adalah bagaimana kami mampu menguasai serta mengetahui bagaimana untuk mengawal perasaan. Apa yang penting adalah kami tidak lakukan kesilapan serta sangat penting untuk tidak bolos dalam dua perlawanan pertama ini. Kami perlu beri konsentrasi 90-95 minit,” kata Simon seperti dilaporkan di laman web rasmi Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI).

Skuad Harimau Malaya akan berdepan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September ini dalam saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

 

Kredit foto: Selangor FA

Comments