Hariss Harun tetap gembira walaupun JDT gagal menang aksi terakhir di Larkin

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Hajat besar Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan aksi terakhir di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin dengan nota kemenangan seterusnya menyuntik lebih kemeriahan kepada majlis sambutan julang trofi Liga Super pada Jumaat, tidak kesampaian.

JDT diikat seri 3-3 oleh Terengganu FC pada aksi terakhir Liga Super itu sekaligus mengundang kecewa lebih 13,000 penyokong tuan rumah untuk meraikan saat-saat terakhir di stadium keramat dengan kemenangan.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut itu akan mula beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang merupakan stadium baharu mereka bermula musim depan dan sudah pasti keputusan seri belum cukup untuk mereka berasa puas pada aksi terakhir tu.

Walaubagaimanapun, kapten pasukan JDT, Hariss Harun menyifatkan satu mata yang diraih itu tetap bermakna untuk pasukan selain tetap menikmati kemeriahan menjulang trofi di hadapan penyokong.

“Malam ni kami sambut kejuaraan julang trofi Liga Super tapi keputusan perlawanan pula tidak seperti yang kami harapkan.

“Separuh masa pertama kami berjaya menguasai perlawanan dengan baik untuk berada di depan, tapi kami hilang kawalan pada babak kedua untuk pihak lawan menyamakan kedudukan.

“Secara keseluruhan, kami dapat satu mata dan walaupun tidak menang, kami tetap juara Liga Super dan tetap meraikan kejayaan ini dengan seluruh penyokong”, katanya.

Kapten pasukan Terengganu FC, Lee Tuck pula menyifatkan ia adalah perlawanan yang cukup menghiburkan apatah lagi mereka ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama sebelum skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain bangkit pada babak kedua perlawanan untuk menyamakan kedudukan sekaligus menjadi satu-satunya pasukan tidak tewas kepada Harimau Selatan musim ini.

Lee Tuck juga memberikan kredit kepada rakan sepasukan yang tidak cepat berputus asa untuk memastikan mereka dapat membawa pulang satu mata dari tempat lawan.

“Banyak peluang yang terhidang untuk JDT, tapi nampaknya pasukan kami pamer karakter tersendiri untuk bangkit pada separuh masa kedua.

“Jadi, saya memang puas dengan perlawanan ini terutamanya apabila turut berjaya jaringkan gol untuk pasukan dan satu mata yang diraih ini cukup bermakna untuk kami,” jelasnya.

Pada perlawanan itu, Terengganu FC berada di depan 1-0 menerusi jaringan Shanjar Shaakmedov namun JDT bangkit bergaya dengan tiga gol oleh Leandro Velazquez, SafawI Rasid dan Gonzalo Cabrera untuk mendahului 3-1.

Terengganu FC bagaimanapun bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan Serhii Andreiev dan Lee Tuck, dan berjaya mencuri satu mata.

Comments