Zainal mahu MU kutip tiga mata di Darul Makmur

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kami datang untuk menang.

Itulah azam ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan menjelang perlawanan terakhir Liga Super mereka bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur pada malam ini.

Tanpa mengambil peduli apa pun taktik pasukan tuan rumah, Zainal mahu anak buahnya berkerja keras untuk mencatat kemenangan di gelanggang lawan biarpun Pahang mempunyai rekod yang cemerlang di Darul Makmur.

“Kejayaan sebagai naib juara Liga Super sudah tentu menjadi motivasi buat barisan tuan rumah berdepan kami.

“Bagaimanapun kami juga hadir untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berikutan tiga mata mampu meletakkan keputusan lebih positif MU di carta liga,” kata Zainal seperti dilaporkan Berita Harian.

Apa sahaja keputusan pada malam ini tidak akan memberi kesan kepada Pahang yang sudah mengesahkan posisi mereka di tempat kedua liga musim ini. Tetapi jika Melaka mampu menang pada malam ini dan Kedah serta Selangor gagal mencatat kemenangan, MU mampu melonjak ke tangga ketiga dengan 36 mata, empat mata di belakang Pahang.

Melaka nampaknya berada di prestasi yang baik biarpun bakal kehilangan beberapa pemain utama seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mengalami kecederaan. MU berjaya berjaya mencatat tiga kemenangan berturut di gelanggang lawan sebelum berdepan Pahang. Mereka menewaskan Perak 2-3 di Ipoh, tewaskan Kuala Lumpur 0-1 di Cheras dan tundukkan Petaling Jaya City 2-1 di Stadium Petaling Jaya.

Perlawanan di antara kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat pada 16 Februari lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1. Safiq Rahim menjadi wira buat Melaka apabila menyempurnakan sepakan penalti di penghujung perlawanan selepas Herold Goulon menjaringkan gol untuk Tok Gajah seawal minit kelima. Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih telah dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.

 

Kredit foto: Melaka United Soccer Association – MUSA

Comments