Ganjaran menanti The Bos Gaurus jika bawa pulang Piala FA

Khairul Nizam Khairul Nizam

Mungkinkah ini akan menjadi salah satu pembakar semangat buat pasukan The Bos Gaurus untuk menjulang Piala FA 2019 menentang Kedah pada minggu hadapan?

Menurut laporan Bernama, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengumumkan bahawa pasukan The Bos Gaurus bakal menerima ‘bonus’ jika mereka berjaya menumpaskan Kedah dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai nanti.

Namun begitu, pemain Perak perlu menumpaskan Kedah terlebih dahulu jika mereka ingin mengetahui apakah ganjaran yang bakal mereka terima nanti.

Pemberian ganjaran bukanlah satu perkara yang aneh dalam bolasepak Malaysia kerana ianya sering dijanjikan bagi memberi motivasi dan semangat tambahan buat pemain.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak sebelum ini telah menawarkan ganjaran buat skuad The Bos Gaurus jika mereka berjaya mara ke perlawanan akhir sebelum aksi separuh akhir kedua bertemu Pahang pada hujung Jun lalu. Perak berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-0 sekaligus menang secara agregat 4-3.

Selain daripada ganjaran, Ahmad Faizal juga semalam mengumumkan beberapa aktiviti akan diadakan menjelang perlawanan akhir nanti. Antaranya adalah beberapa karnival yang akan diadakan termasuk tayangan layar besar di sembilan lokasi pada hari perlawanan akhir nanti.

 

Kredit foto: Perak The Bos Gaurus

Comments