Sudah menang liga, penyokong masih kritik Benjamin Mora?

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Disebabkan mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Terengganu Football Club (TFC) dalam perlawanan terakhir Liga Super Malaysia 2019, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dikritik hebat oleh sebahagian penyokong skuad Harimau Selatan.

Pertembungan yang mengambil tempat di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin itu menyaksikan anak-anak buah Benjamin Mora terlebih dahulu mendahului 3-1 pada babak pertama menerusi jaringan oleh Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera. TFC pula memperoleh jaringan tunggal melalui Sanjar Shaakhmedov.

Foto: MFL

Memasuki babak kedua, dengan sedikit pertukaran pemain dan perubahan percaturan oleh jurulatih sementara, Nafuzi Zain, pasukan TFC berjaya mengejar dan menjadikan kedudukan 3-3 hasil jaringan oleh Serhii Andrieiev dan Lee Tuck masing-masing pada minit ke-65 dan ke-79. JDT cuba meningkatkan asakan untuk mencari jaringan kemenangan tetapi mereka terpaksa akur dengan keputusan seri walaupun menentang TFC yang bermain dengan 10 orang pemain selepas Lee Tuck dilayangkan kad merah pada minit ke-80.

Rata-rata penyokong skuad Harimau Selatan tidak gemar dengan keputusan tersebut. Walaupun telah disahkan bergelar juara pada aksi ke-18 liga menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, bulan lalu, ia masih tidak dapat memuaskan hati sesetengah penyokong terutamanya dari segi percaturan taktikal, kekurangan kreativiti dan aspek pemilihan dan pertukaran pemain.

Foto: JST

Tinjauan kami di ruangan komen laman JOHOR Southern Tigers, Khairul Nizam berkata, “Terengganu menggunakan taktik yang sama seperti PJ City. Kamu fikir Mora dapat menerapkan strategi untuk mengatasi taktik tersebut. Tidak. Mora kurang kreativiti dan pengalaman dan tiada visi. Jelas, dia hanya ‘menunggang’ pasukan terbaik dalam liga. Mora perlu ditukarkan atau trofi Liga Super akan bertukar tangan pada musim hadapan.”

Seorang lagi mengkritik Mora kerana tidak membuat pertukaran dengan lebih awal terutamanya apabila pasukan lawan mula mendapatkan rentak untuk melakukan serangan ke arah gawang JDT. Azlan Johan berkata, “Tahniah kepada JDT tetapi tidak kepada Mora. Merosakkan ‘mood’ untuk meraikan (kejuaraan). Ada 3 pertukaran tetapi pakai dua sahaja. Dari awal musim memang taktikal dia menggunakan 2 pertukaran sahaja kot. Azrif menjadi ‘lubuk’ lagi mahu simpan?”

Foto: TFC

Zahid Idris pula tampak bersetuju dengan Azlan Johan berkenaan pemilihan Azrif. Beliau merasakan penghijrahan Syazwan Andik daripada pasukan Kuala Lumpur pada awal musim ini seakan sia-sia sedangkan pemain itu tampak lebih meyakinkan untuk menggantikan Corbin Ong di posisi bek kiri. Selain itu, bolos empat jaringan daripada dua perlawanan akhir sangat mendukacitakan Zahid namun timbul pula persoalan di mindanya bagaimana ‘second team’ yang  menentang Kuala Lumpur pada aksi ke-19 dan berjaya mendapatkan ‘clean sheet’ tidak diturunkan pada perlawanan semalam.

Namun, satu komentar yang menarik diberikan oleh Eiz Iza di mana beliau tidak menghalakan kritikan itu kepada Mora sebaliknya para pemain yang gagal mengikuti perancangan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, beliau menulis, “Bagi saya ini bukan sebab taktikal, ini sebab kelemahan pemain pertahanan yang mudah dibaca, contoh terbaik Azrif yang gagal berada (pada) posisinya, dia kerap naik ke atas dan lambat turun, Hariss Harun juga tidak berada di tahap sebenar, peratusan memenangi bola kembali sangat rendah.”

Selain daripada kritikan-kritikan yang dilemparkan, beberapa kalangan penyokong turut memenuhi ruangan komen dengan #MoraOut serta mahu JDT mencari individu lain bagi menggantikan pengendali kelahiran Mexico itu.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Comments