Akhirnya Satiananthan tersenyum puas..

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pengendali Selangor, B. Satiananthan akhirnya tersenyum puas dengan persembahan anak buahnya selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) di Stadium Shah Alam, semalam.

Lebih menggembirakan pengendali berusia 61 tahun itu adalah kemenangan yang dicatatkan oleh Selangor turut disertakan dengan ‘clean sheet’ dan itu merupakan perlawanan kedua yang berakhir dengan rekod sedemikian pada musim ini menurutnya.

“Pertama sekali, terima kasih kepada pemain-pemain kerana bekerja keras selepas perlawanan menentang Perak. Dan yang paling penting, kita tidak dibolosi. Itu yang paling penting kerana saya rasa ini merupakan perlawanan kali kedua kami tidak dibolosi. 

“Kami menjaringkan tiga gol. Kami mengawal permainan, saya lihat banyak gerakan-gerakan, hantaran yang baik. Keseluruhannya saya berpuas hati. Saya juga gembira dengan Khyril Muhymeen yang kini telah menjaringkan 3 gol dan Ifedayo juga bermain dengan baik.

“Semuanya semakin baik, pasukan semakin selesa, mereka bermain dengan cara yang kita mahu ianya dimainkan. Kita akan lihat pula pada minggu seterusnya di mana kita akan berhadapan dengan pasukan yang menewaskan kita 4-0 dalam perlawanan terdahulu.” katanya dalam sidang media.

Dalam perlawanan tersebut, Endrick dos Santos, Khyril Muhymeen dan Ifedayo Olusegun mencatat nama selaku penjaring perlawanan. Dan kemenangan ini membawa Selangor menduduki tangga ke-4 Liga Super Malaysia, berkongsi 34 mata bersama pasukan Kedah di tangga ke-3.

Untuk aksi terakhir saingan liga pada musim ini, Selangor akan menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC). Perlawanan tersebut dijadualkan pada hari sabtu bertempat di Stadium Shah Alam.

Foto: Malaysian Football League

Comments