Bida jadi tuan rumah, bukan jalan pintas untuk beraksi di Piala Dunia

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Subahan Kamal menegaskan bahawa hasrat Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara (ASEAN) lain membida hak penganjuran Piala Dunia 2034, bukan jalan pintas untuk bermain di pertandingan bolasepak terbesar dunia itu.

“Tidak betul untuk bercakap begitu, sudah tentu kita mahu layak secara merit ke Piala Dunia, tetapi dalam masa sama bukankah ianya satu penghormatan dan kebanggaan sekiranya kita dapat menganjurkan sebuah pertandingan berprestij seperti Piala Dunia di tempat kita? Tidak ada salahnya.

“Buat masa ini, kita sedar kemungkinan China akan bida untuk edisi 2030. Jika mereka berbuat demikian, kita akan tengok sama ada kita mahu bida 2030, 2034, 2038 atau edisi lain. Tujuan kita adalah untuk mengadakan pertandingan itu di rantau kita tetapi kita semua sedar proses bidaan ini adalah sesuatu yang rumit.

“Apapun, tidak salah kita mencuba, kita cuma perlu selari dengan pendirian AFF (Konfederasi Bolasepak ASEAN) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), malah seperti diketahui kerajaan sendiri sudah bersetuju dengannya,” tegas Subahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Subahan juga memberitahu bahawa beliau telah diberi kepercayaan oleh FAM untuk mengetuai proses bidaan tersebut bagi pihak Malaysia, dan akan bekerjasama erat dengan semua pihak berwajib di dalam memastikan semua urusan berjalan lancar.

“Saya akan berhubung dan adakan pertemuan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, selepas itu kita akan ambil tindakan susulan. Kita perlu tubuhkan dulu sebuah jawatankuasa dan barulah teruskan dengan proses bidaan.

“Saya percaya kita tidak akan bersendirian dalam hal ini, memandangkan kita akan memerlukan sokongan daripada pihak AFF dan AFC. Sekali lagi saya tekankan, ia bukan jalan pintas sepertimana diperkatakan segelintir pihak, kita tidak akan rugi apa-apa melalui usaha ini.”

 

Foto : Malaysian Hockey Federation (MHC)

Comments