Bekas pelumba F1, Alex Yoong buka peluang anak muda ceburi sukan permotoran melalui simulator

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Bekas pelumba Formula 1 (F1) negara, Alex Yoong sering ditanya oleh orang ramai terutamanya anak muda, bagaimanakah mahu menceburi sukan permotoran? Selama bergelar pelumba professional, beliau tiada jawapan tepat untuk persoalan itu.

Kini, beliau yang juga pengasas Axle Motorsport telah mempunyai jawapannya iaitu berlumba menggunakan simulator. Dan pihak Axle Motorsport memperkenalkan kejohanan eRacing Grand Prix SEA di Malaysia sebagai platform untuk pelumba-pelumba simulator ini menjadi jagoan litar sebenar.

“Orang ramai berpeluang untuk memasuki sukan permotoran. Saya berjumpa ramai yang berminat dengan sukan permotoran, tetapi mereka bertanyakan kepada saya bagaimana untuk menceburi bidang sukan permotoran ini?

“Saya tidak mempunyai jawapan yang tepat sebelum ini. Kadang-kala saya mencadangkan melalui ‘go-kart’ dan juga beberapa benda yang lain. Tetapi tidak ramai yang mampu (daripada segi kewangan) untuk melakukannya. 

“Kini, saya ada jawapan yang berbeza. Awak mahu menceburi sukan permotoran? Awak boleh mulakan dengan simulator. Dan dengan menyertai pertandingan-pertandingan ini, peluang itu terbuka.” kata Alex Yoong semasa sesi percubaan di Atria Shopping Gallery, semalam.

Foto: Shekhinah PR

Bagaimanapun, berlumba menggunakan simulator ini bukanlah perkara yang mudah lebih-lebih lagi kepada peserta yang mencubanya pada kali pertama. Alex Yoong turut menyedari perkara tersebut dan berbekalkan keghairahan dan kecintaan beliau terhadap sukan permotoran, pihaknya ingin mengadakan ‘workshop’ khusus untuk mengajar asas-asas pemanduan menggunakan simulator selepas daripada ini.

“Kami perlu membuat lebih banyak ‘workshop’ untuk mengajar mereka asas memandu dengan simulator. Perkara ini perlu kerana ramai yang bermula kosong dengan simulator menghadapi permulaan yang sukar. Kami perlu jadikan ia lebih mudah untuk mereka dengan mengadakan lebih banyak ‘workshop’.” ujarnya.

Foto: Shekhinah PR

Sesi percubaan masa kejohanan eRacing Grand Prix SEA telah bermula pada minggu lepas, 6 dan 7 julai di Sepang. Dan pada minggu ini pula, 13 dan 14 julai mereka menjalankannya di Atria Shopping Gallery. Peserta boleh mendaftar dan melakukan ujian masa bagi mendapatkan catatan masa terbaik.

Satu lagi sesi percubaan masa akan dijalankan pada minggu hadapan, lokasi dan masa akan diumumkan menerusi laman sesawang rasmi kejohanan, https://ergpsea.com/

“45 peserta teratas yang mencatatkan masa terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir yang dijangka pada pertengahan bulan ogos. Di sana, mereka akan berlumba sesama sendiri, 15 terbaik akan layak ke peringkat akhir kejohanan yang dijadualkan pada penghujung ogos.

“Lima terbaik akan menerima hadiah berupa wang tunai, barangan daripada para penaja dan yang paling penting, pemenang utama akan mendapat peluang untuk memandu jentera Formula 4. Menjadikan pelumba simulator ini berubah kepada jagoan sebenar litar lumba.” ulas Alex lagi.

Comments