“Tiada rahsia untuk kekal rekod tanpa kalah” – Luciano Figueroa

Khairul Nizam Khairul Nizam

20 perlawanan tanpa kalah adalah satu perkara yang menakjubkan.

Pasukan yang sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super 2019 kini hanya mempunyai dua perlawanan sahaja lagi untuk mencatatkan rekod perlawanan tanpa kalah sepanjang aksi Liga Super selepas mereka berjaya menundukkan Kuala Lumpur 4-0 di Cheras semalam.

Setakat ini, JDT mencatatkan 16 kemenangan dan empat seri daripada 20 perlawanan mereka. Bagi pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa, tiada rahsia mengenai corak persembahan JDT pada musim ini selain daripada kerja keras pemain dan barisan kejurulatihan.

“Tiada rahsia. Kami cuba menang semua perlawanan. Ada masanya kami berjaya dan ada masanya tidak. Tetapi kami sentiasa mencuba corak permainan dan filosofi kami. Pemain semua beraksi baik. Ini satu perkara yang bagus untuk kami,” kata Luciano selepas perlawanan semalam.

JDT selepas ini akan menerima kunjungan Petaling Jaya City pada hari Selasa nanti selepas perlawanan mereka yang dijadualkan pada hari Rabu lalu ditunda ekoran serangan virus Influenza di kem JDT. Harimau Selatan akan berdepan Terengganu FC di Larkin dalam perlawanan terakhir mereka di liga musim ini.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments