KL terus mengharap untuk kekal di Liga Super

Khairul Nizam Khairul Nizam

Masih ada harapan dan perlu terus mencuba.

Pemangku ketua jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus nampaknya masih berharap Kuala Lumpur akan dapat kekal di Liga Super pada musim hadapan biarpun berdepan tugas sukar dalam perlawanan terakhir mereka bertemu Perak di Ipoh.

Kuala Lumpur tewas kepada JDT 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semalam, tetapi disebabkan keputusan perlawanan di antara Felda United dan PKNP berkesudahan seri 1-1, mereka masih mempunyai harapan untuk terus berjuang.

“Di atas kertas mungkin nampak kami bakal diturunkan, tetapi selepas mengetahui perlawanan di antara Felda dan PKNP berakhir dengan keputusan seri, jadi kami masih ada perlawanan terakhir menentang Perak. Kami tidak merasakan langsung tiada harapan. Kami akan terus mengharap dan berusaha menang dalam perlawanan terakhir.

“Dari segi positif, kami mencipta banyak peluang tetapi tidak disempurnakan pada malam ini. Kami perlu perbaiki kesilapan-kesilapan mudah yang membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol. Pada masa yang sama, kami perlu terus berusaha dan mencuba biarpun ketinggalan. Saya perlu berikan semangat kepada pemain saya dan jangan putus asa,” kata Rosle selepas perlawanan semalam.

Namun begitu, nasib Kuala Lumpur juga perlu bergantung kepada perlawanan Felda United menentang Pahang yang telah dipinda dan dijadualkan berlangsung pada hari Rabu nanti. Buat masa ini, Kuala Lumpur ketinggalan dua mata kepada Felda United dan PKNP dan jika mereka mahu kekal di Liga Super, hanya kemenangan buat KL dan kekalahan buat Felda serta PKNP yang akan mengelamatkan mereka.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

 

 

Comments