Matlan Marjan ‘tabik’ pengurusan Sabah FA

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Legenda bolasepak Sabah, Matlan Marjan berpendapat salah satu kunci kejayaan pasukan Sabah FA bergelar juara Liga Premier 2019 adalah disebabkan pengurusan yang mantap dan efisyen.

Menurutnya, tiada lagi janji-janji kosong daripada pengurusan SAFA terutamanya berhubung kebajikan pemain, membolehkan mereka bermain tanpa tekanan dan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan untuk akhirnya menamatkan penantian 23 tahun tanpa sebarang piala.

“Sebagai bekas pemain, saya memahami apa yang diperlukan oleh setiap pemain di mana aspek kebajikan memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan berkualiti. Selama saya mengikuti perkembangan pasukan Sabah FA, saya lihat sebelum ini masih ada masalah gaji dan kebajikan lain yang menghimpit pemain.

“Namun, kini kita dapat lihat pemain-pemain Sabah FA sudah bebas daripada masalah itu dan ini semua atas usaha keras daripada pihak pengurusan sendiri yang tidak pernah lepas tangan jaga kebajikan pemain dengan baik.

“Perlu diakui selepas Datuk Peter Anthony ambil alih selaku presiden, banyak perubahan positif yang berlaku selain dia menunaikan apa yang dijanjikan dan membuatkan pemain lebih bersemangat untuk berbakti kepada pasukan sehingga berjaya.

“Tiada rungutan-rungutan yang tidak sepatutnya kita dengar daripada pemain dan perkara sebegitu amat penting untuk memastikan mereka boleh fokus sebaiknya dalam memberikan aksi terbaik dalam padang”, katanya yang pernah menjulang trofi Piala FA 1995 bersama Sabah FA.

Penyerang Sabah era 90-an ini turut menyatakan harapan agar permainan lebin konsisten dapat ditampilkan oleh skuad tambadau itu dalam mengharungi cabaran di Liga Super 2020.

Nasihatnya kepada Jelius Ating (pengendali Sabah FA), perlu lebih bijak dalam menghasilkan taktikal dan perancangan yang lebih kreatif dan berbeza daripada apa yang telah dilakukan ketika beraksi di Liga Premier kerana jurang persaingan yang lebih jauh menanti mereka pada musim depan.

“Daripada segi latihan pula, usaha perlu digandakan lebih banyak daripada apa yang dilakukan ketika di Liga Premier dan persiapan perlulah bermula daripada sekarang. Nak layak ke Liga Super bukan senang, tetapi untuk mengekalkan aksi terbaik juga sukar jika tiada perancangan rapi,” jelasnya.

Sebagai rekod, Sabah FA muncul juara Liga Premier 2019  menerusi kejayaan menundukkan Uitm FC 2-1 pada 9 Julai lalu dan ketika ini mereka begitu unggul di kedudukan teratas, di mana kemenangan terbaru 1-0 ke atas Kelantan pada Sabtu menyaksikan  mereka 10 mata mengatasi pasukan tangga kedua Johor Darul Takzim, dengan baki satu perlawanan.

 

Foto : Berita Harian Online

Comments