Lima Perkara: Kedah lakukan ‘comeback’ 4-2 ke atas Perak di Alor Setar

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Perlawanan ke-21 Liga Super Malaysia pada malam ini menemukan dua seteru utara semenanjung tanah air iaitu Kedah dan Perak. Aksi sengit yang berlangsung di Stadium Darul Aman berkesudahan dengan jaringan 4-2 memihak kepada tuan rumah, Kedah.

Berikut adalah lima perkara daripada perlawanan ini:

#1 Intensiti tinggi Perak sejak awal permainan

Ditiup sahaja wisel permainan, Perak mula mengasak untuk melakukan serangan ke arah gawang pasukan tuan rumah. Sekiranya pihak mereka hilang bola, dengan segera Perak akan memberikan tekanan kepada pihak lawan tidak kira samada secara berkumpulan mahupun menerusi mana-mana pemain, mereka akan berikan tekanan untuk memenangi bola kembali. Apabila sudah memenangi bola, mereka terus melancarkan serangan dan dua pemain yang menjadi fokus utama dalam melancarkan serangan ialah Norhakim Hassan di sayap kiri dan J. Partiban di bahagian kanan. Ada ketikanya mereka cuba untuk ‘menebuk’ di tengah menerusi Ronaldo ataupun Brendan Gan yang naik ke atas. Corak permainan ini buatkan Kedah bergelut, tercari-cari rentak mereka hampir 40 minit permainan.

#2 Kedah ‘comeback’ pada separuh masa pertama

Dengan permainan berintensiti tinggi daripada pasukan Perak, mereka berjaya memperoleh banyak peluang pada babak pertama. Mujurlah Abdul Hadi Hamid agak cemerlang menepis dan menyelamatkan gawangnya daripada bocor. Namun, hasil serangan bertali arus oleh Perak, skuad The Bos Gaurus berjaya memperoleh jaringan awal menerusi Shahrul Saad pada minit ke-29. Tidak mudah mengalah, Kedah cuba mengatur serangan dan memburu jaringan penyamaan. Dengan semangat juang yang tinggi dan tidak berputus asa, satu serangan balas yang dilakukan Kedah berjaya membuahkan hasil untuk mencetak jaringan menerusi N, Thanabalan pada minit ke-40. Dan pada minit ke-45, berpunca daripada sepakan sudut, satu tandukan padu daripada Renan Alves memberikan Kedah mendahului 2-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.

#3 Persembahan mantap Abdul Hadi Hamid

Abdul Hadi Hamid menjadi pilihan utama pasukan Kedah di posisi penjaga gol, sama ketika menentang Kedah pada hujung minggu lalu. Persembahannya pada malam ini adalah mantap! Pada babak pertama, beliau berjaya menghalang Perak daripada menjaringkan lebih daripada satu gol ketika Kedah masih tercari-cari rentak mereka. Babak kedua, ketika Perak ketinggalan 2-1, mereka meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan. Dan Abdul Hadi turut menjadi batu penghalang kepada Perak untuk mencari gol penyamaan terutamanya ketika situasi permainan terbuka. Perak hanya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti sahaja.

#4 Permainan Perak meyakinkan namun ketiadaan Leandro dirasai

Beberapa perlawanan sebelum ini, Perak menampilkan satu corak permainan yang sangat ‘segar’. Mereka bermain dengan intensiti tinggi, bermain dengan bola hantaran rendah serta pantas. Bertandang ke Alor Setar, corak ini juga yang ditampilkan oleh mereka. Tercungap-cungap Kedah untuk menyaingi corak permainan ini. Namun, ketiadaan Leandro dos Santos dalam pasukan Perak pada malam ini memberikan kelompongan yang besar. Tiada yang dapat melakukan kerja kotor untuk memusnahkan serangan-serangan pihak lawan sebagaimana Leandro lakukan. Ini terbukti, sungguhpun Perak menguasai permainan, kelekaan beberapa ketikan pemain Perak, pasukan Kedah berjaya mencuri peluang tersebut untuk menjaringkan gol.

#5 Dua jaringan akhir Fernando Rodriguez sahkan 3 mata

Bermula dengan ketinggalan 1-0, Kedah bangkit untuk mendahului 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Perak berjaya mencari gol penyamaan dan mengikat kedudukan 2-2 hampir ke penghujung permainan. Namun, dua gol oleh penyerang Kedah, Fernando Rodriguez memastikan Kedah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Perak seterusnya memungut tiga mata penuh di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini. Kemenangan ini juga kembali meletakkan mereka di tangga ketiga liga dan menghambat Pahang di kedudukan kedua dengan hanya dibezakan 3 mata sahaja.

Foto: Malaysian Football League

Comments