Jaring 100 gol Liga Super, MFL beri pengiktirafan kepada Indra Putra

Khairul Nizam Khairul Nizam

Badan pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL), mengumumkan bahawa satu sambutan istimewa akan diadakan pada malam ini sempena perlawanan di antara Kuala Lumpur menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Biarpun JDT yang bergelar juara, tetapi sambutan ini bukanlah untuk mereka atau pemain mereka. Sambutan ini adalah untuk satu-satunya pemain yang telah berjaya menjaringkan 100 gol dalam Liga Super iaitu, ketua pasukan Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin.

MFL telah merancang agar sambutan itu diadakan sebelum perlawanan dan dianjurkan bersama rakan penaja MFL iaitu 100 Plus.

Indra Putra telah menjaringkan gol ke-100 beliau dalam kancah Liga Super dalam perlawanan menentang PKNS pada bulan April yang lalu. Sayang sekali, Kuala Lumpur tewas 3-2 dalam perlawanan tersebut.

Kuala Lumpur kini sedang bergelut di tangga terbawah Liga Super, dan kekalahan kepada JDT serta jika ada pemenang dalam perlawanan di antara PKNP dan Felda United akan mengesahkan penyingkiran Kuala Lumpur ke Liga Premier pada musim depan.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments