Pahang jalankan ‘eksperimen’ cari gandingan penyerang terbaik

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pahang mengakui sedang ‘bereksperimen’ untuk mencari gandingan baharu di barisan serangan selepas kehilangan khidmat Dickson Nwakaeme dan Norshahrul Idlan Talaha dan perkara ini menyebabkan mereka hilang sengat dalam pertemuan menentang Terengganu FC, semalam.

Antara gandingan yang dicuba oleh skuad Tok Gajah, memainkan Mohamadou Sumareh dan Lazarus Kaimbi sebagai penyerang berkembar disamping menggunakan Saddil Ramdani dan Zuhair Aizat di posisi sayap kanan dan kiri.

Berbaki sekitar 10 minit permainan, penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin mencuba gandingan lain dengan membawa masuk Nik Sharif, Faisal Halim dan Kogileswaran di bahagian serangan dalam usaha mencari jaringan kemenangan namun ianya tidak berhasil dan mereka akur dengan keputusan seri 1-1 di Kuala Terengganu.

“Kita banyak bergantung harap pada Dickson Nwakaeme, Matyo pula mendapat kecederaan daripada perlawanan sebelum ini. Kita masih lagi mencuba (gandingan) di barisan hadapan. Kita buat penggiliran pemain, mencuba (beberapa) pemain di posisi penyerang. Lepas dua tiga perlawanan, kita dalam keadaan sebegitu. Kita percaya tanpa Dickson Nwakaeme, kita usaha.

“Dickson Nwakaeme kecederaan hamstring. Jangka masa pulih mungkin dalam masa 4-5 minggu. Matyo (cedera) daripada perlawanan sebelum ini, jadi kita tidak dapat sahkan lagi kecederaannya. Insyaallah, isnin ini kita dapat tahu keadaan dia yang sebenar. Kebarangkalian matyo juga mendapat kecederaan hamstring.” ulasnya dalam sidang media.

Bagaimanapun, Ahmad Shaharuddin lega sekurang-kurangnya satu mata berjaya di bawa pulang dan menganggap perlawanan menentang Terengganu FC sentiasa menghadirkan debaran atas faktor perseteruan di antara kedua-dua pasukan itu.

“Kebiasaannya Pahang lawan Terengganu, derbi pantai timur, berakhir dengan keputusan yang mendebarkan. Selalu ada tentangan daripada tuan rumah. Satu mata hari ini, cukup bermakna untuk pasukan Pahang. Tahniah kepada pemain-pemain kerana berjaya merealisasikan satu mata pada hari ini.

Dua perlawanan seterusnya, Pahang akan bertemu Felda United dan Melaka. Beliau menggesa anak-anak buahnya mengambil peluang untuk mencatatkan kemenangan lebih-lebih lagi mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Kita akan usahakan, insyallah. Kelebihan kita bermain di halaman sendiri, kita pastikan pemain tidak melepaskan peluang. Dua perlawanan akhir ini, walau macam mana pun, kita akan usaha.” ujarnya.

Foto: Pahang FA

Comments