Prestasi semasa Terengganu FC mampu kejutkan sang juara, JDT?

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Terengganu Football Club (Terengganu FC) yakin prestasi semasa mereka tidak kalah dalam empat perlawanan lalu mampu memberikan motivasi yang tinggi kepada para pemain untuk mengutip sesuatu daripada perlawanan akhir menentang juara Liga Super Malaysia 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT), jumaat depan.

Terdahulu, dalam perlawanan menentang Pahang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam, Terengganu FC menampilkan permainan yang mantap sehingga memaksa Tok Gajah sekadar berpuas hati dengan dengan keputusan seri 1-1.

“Saya dengan keyakinan yang ada pada masa ini, saya rasa kita boleh beri tentangan yang sengit kepada JDT. Kita tidak kalah dalam tiga perlawanan terakhir.” kata penolong jurulatih Terengganu FC, Mohd Nik.

Tambahnya, Pahang turut memberikan saingan sengit terutamanya pada babak kedua dan kesilapan daripada barisan pertahanannya membolehkan pemain sayap, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat dan memastikan satu mata berjaya diraih Tok Gajah daripada pertembungan derbi pantai timur tersebut.

“Saya cukup berpuas hati dari segi persembahan pasukan Terengganu dan pasukan Pahang juga memberikan tentangan yang cukup sengit.

“Separuh masa pertama, kalau kita dapat kekalkan momentum dari segi permainan, saya rasa kita boleh kekalkan kemenangan. Kesilapan pertahanan kita, dalam kotak penalti, kita tidak boleh memintas mereka, biarkan mereka melakukan ‘turning’.” ulas Mohd. Nik kepada para wartawan.

Bagaimanapun, tiada raut kekecewaan di muka Mohd. Nik walaupun dua mata terbang melayang daripada genggaman mereka selepas Terengganu FC terlebih dahulu mendahului menerusi Syamim Yahya pada babak pertama.

Baginya, pemain-pemain telah memberikan persembahan terbaik mereka ia adalah keputusan yang adil kepada Terengganu FC termasuk ketika menentang Kedah, pada aksi ke-20 lalu.

“Sebagaimana saya katakan, dua-dua perlawanan yang kita hadapi merupakan pasukan 3 teratas. Saya cukup-cukup berpuas hati dengan keputusan (seri) ini.

“Kita sudah tahu, 3 perlawanan terakhir ini kita berjumpa dengan 3 pasukan teratas. Kita mengharapkan pemain-pemain memberikan persembahan terbaik, jadi keputusan seri yang kita dapat itu, kita berpuas hati.” ujarnya.

Foto: Terengganu Football Club

Comments