Kami tiada pilihan lain selain tumpaskan PKNP – Christie Jayaseelan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Selepas kejayaan menewaskan salah satu daripada dua pesaing mereka untuk kekal di Liga Super pada hari Rabu lalu, Felda United kini berazam untuk mencatat kemenangan kedua dalam tempoh masa seminggu.

The Fighters berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan mereka di Cheras awal minggu ini dan kini bakal berdepan misi hidup mati ketika berdepan PKNP pada malam ini di Manjung.

Kemenangan dalam perlawanan ini akan memberikan motivasi terbaik buat kedua-dua pasukan dalam misi mereka untuk kekal di Liga Super dan pemain tengah Felda United, Christie Jayaseelan tahu mereka tiada pilihan lain

“Sudah pasti kami tiada pilihan lain dan perlu menang ke atas PKNP dan seterusnya bersedia untuk perlawanan bertemu Pahang dan Kedah.

“Saya percaya kemenangan ke atas KL (kelmarin) memberi semangat kepada semua pemain untuk meneruskan rentak kemenangan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan di Jengka pada bulan Februari lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Hadin Azman menyamakan kedudukan selepas Thomas Abbey membuka jaringan untuk PKNP.

Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 15 mata, tetapi kelebihan jaringan berpihak kepada PKNP.

 

Kredit foto: Felda United

Comments