Lima Perkara: Terengganu FC ikat Tok Gajah di Kuala Terengganu

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Derbi Pantai Timur!

Terengganu FC menerima kunjungan pasukan di tangga kedua Liga Super Malaysia, Pahang bagi aksi ke-21. Perlawanan berlangsung dengan penuh rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan masing-masing.

Tiada apa dapat memisahkan mereka dengan keputusan seri 1-1 tercatat selepas 90 minit permainan. Syamin Yahya menjaringkan gol pada babak pertama buat pasukan Terengganu FC manakala Mohamadou Sumareh menjaringkan gol penyamaan pada awal babak kedua buat pasukan Tok Gajah.

#1 Sharin Sapien kembali dalam kesebelasan Terengganu FC

Terengganu XI vs Pahang. Grafik: TFC

Perlawanan pada malam ini menyaksikan Sharin Sapien kembali. Dia tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Kedah yang lalu kerana mendapat kecederaan daripada perlawanan menentang PKNS FC pada aksi ke-19. Kehadirannya membolehkan Terengganu FC beraksi dengan lebih meyakinkan dan membolehkan mereka bermain corak permainan membina serangan dari bawah untuk melakukan serangan. Selain daripada Sharin, Muhamad Hafizal Mohamad turut dimasukkan dalam kesebelasan utama untuk bermain di posisi bek kanan. Khairul Anwar yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kedah, selasa lalu dimainkan sebagai penyerang kiri dalam sistem 4-3-3 Terengganu FC.

 

#2 Tiada Matyo, tiada Safuwan Baharudin

Pahang XI vs Terengganu FC. Grafik: PFA

Pahang turun ke Kuala Terengganu tanpa kelibat Norshahrul Idlan Talaha dan Safuwan Baharudin yang bermain menentang PKNS FC pada perlawanan lalu di Kuantan. Ketiadaan Matyo digantikan dengan Zuhair Aizat di bahagian kiri. Safuwan pula digantikan dengan Wan Zaharulnizam. Umum tahu, kualiti tinggi yang ada pada Safuwan Baharudin, kehadiran beliau dalam pasukan Pahang memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan melalui gerakan-gerakan pemusnahnya yang efektif. Satu kelompongan yang besar untuk diisi oleh Wan Zaharulnizam dalam perlawanan malam ini.

 

#3 Jaringan Sumareh beri Pahang ‘nyawa’

Separuh masa pertama, Terengganu FC mendominasi. Pahang agak bergelut untuk mendapatkan rentak, bagaimanapun, mereka turut mendapat beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Ditambah pula dengan jaringan oleh Syamim Yahya sekitar minit ke-40, motivasi pemain-pemain Pahang tampak menurun. Selepas kembali daripada rehat 15 minit permainan, Pahang kembali bersemangat untuk memburu jaringan penyamaan. Hanya enam minit diperlukan oleh Pahang untuk meledak jaringan penyamaan menerusi rembatan jarak dekat oleh Mohamadou Sumareh seterusnya menjadikan permainan kembali terbuka buat kedua-dua pasukan.

 

#4 ‘The Nafuzi Effect’

Nafuzi Zain. Foto: TFC

Pasukan Terengganu FC kini dibimbing oleh pengendali sementara, Nafuzi Zain setelah perletakan jawatan oleh ketua jurulatih terdahulu, Irfan Bakti pada Mei lalu. Pada fasa awal pengambilalihan pasukan, Nafuzi memfokuskan terlebih dahulu kepada meningkat moral pemain dan meningkatkan tahap disiplin di atas padang. Ketika itu, beliau masih menggunakan kesebelasan utama yang hampir sama digunakan oleh Irfan Bakti. Namun, kebelakangan ini, satu perubahan mula kelihatan dalam pasukan Terengganu. Dari segi pemilihan pemain, ada beberapa pemain muda diberikan peluang untuk beraksi seperti Sharin Sapien, Muhamad Hafizal Mohamad, Muhammad Mohd Fauzi dan juga Ilham Amirullah yang semakin menjadi pilihan utama. Satu perkara lagi adalah corak permainan, Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain mula mempraktikkan corak permainan membina serangan dari bawah, bermain hantaran pendek dan mengenakan tekanan kepada pasukan lawan secara berpasukan apabila hilang bola.

 

#5 Masalah bahagian serangan terus menghantui Tok Gajah

Foto: Pahang FA

Babak kedua, anak buah Dollah Salleh bangkit untuk memberikan saingan. Jika babak pertama Terengganu FC yang mendominasi, babak kedua adalah milik Pahang. Mereka lebih banyak memegang penguasaan bola, bertukar-tukar hantaran dan melakukan serangan ke arah gawang yang dikawal oleh Ilham Amirullah. Mereka juga mendapat banyak sepakan sudut. Dalam keadaan mereka mendominasi, Pahang masih sukar untuk menjelmakan jaringan. Apatah lagi dengan ketiadaan Matyo, Dickson Nwakaeme.

Foto: Malaysian Football League

Comments