Penstrukturan hak penyiaran wajar diberi sokongan

Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan pertemuan bersama beberapa penyokong bola sepak tempatan dalam usaha mendapatkan input serta mekanisme bagi memperkasakan struktur baru hak penyiaran pasukan Liga Malaysia yang bakal diperkenalkan pada musim depan.

Seramai 15 penyokong tegar Liga Malaysia turun ke ibu pejabat MFL pada Khamis bagi mendengar taklimat serta maklumat lebih terperinci daripada Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Dalam sesi pertemuan berkenaan, Kevin dan Nizamuddin menjawab setiap pertanyaan dan keraguan daripada penyokong-penyokong terbabit berkenaan penstrukturan hak penyiaran pasukan Liga Malaysia.

Pertemuan tersebut juga dilihat telah memberi impak cukup positif di mana salah seorang pengikut Liga Malaysia, Nizar Irman menganggap pengenalan inisiatif diambil MFL itu bakal menjadi solusi lebih baik dalam usaha membantu pasukan kesayangan masing-masing khusus daripada aspek kewangan.

Tambah Nizar yang merupakan penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) beliau tidak menolak bahawa penstrukturan hak penyiaran ini bukan sahaja memiliki potensi besar sebaliknya percaya kaedah tersebut akan berkesan di Liga Malaysia.

“Saya dapati ini adalah satu progresif yang positif untuk menjana pasukan dalam Liga Malaysia dan ia juga memberikan peluang kepada penyokong tempatan untuk menyumbang kepada pasukan mereka.

“Ini adalah struktur baharu yang saya rasa sangat positif dan berpotensi untuk pergi lebih jauh.

“Saya berpendapat potensi itu ada dan persepsi boleh dimanfaatkan pasukan serta para penyokong. Saya sangat positif pendekatan ini boleh berjaya,” katanya.

Seorang lagi peminat Liga Malaysia, Hermy Rahim optimis MFL telah berada dalam landasan tepat selepas memperkenalkan penstrukturan baharu hak penyiaran pasukan Liga Malaysia.

“Apa yang MFL lakukan sekarang adalah satu perkara bagus, sekurang-kurangnya untuk saya memahami lebih jelas di mana mungkin saya tidak perlu persoalkan pada masa akan datang berhubung struktur baharu hak penyiaran pasukan.

“Mungkin pengetahuan ini masih belum sampai kepada penyokong-penyokong lain tetapi saya percaya MFL akan memastikan mesej ini akan disampaikan.

“Secara peribadi, saya fikir apa yang MFL lakukan sekarang adalah sepatutnya MFL kena buat lebih awal lagi di mana mereka harus bergerak sendiri tanpa bergantung kepada syarikat dari luar,” ujarnya.

 

Foto : MFL

Comments