Pahang mahu teruskan rentak kemenangan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kami mahu teruskan rentak kemenangan.

Itulah tekad skuad Pahang menjelang ‘derby Pantai Timur’ mereka bertemu pasukan jiran Terengganu di tempat lawan pada malam ini.

Pahang yang buat sementara ini dikendalikan oleh penolong ketua jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi ekoran ketiadaan ketua jurulatih, Dollah Salleh yang sedang mengikuti kursus sedang berada dalam prestasi terbaik selepas berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir mereka. Tok Gajah berjaya menewaskan PKNS FC 3-2 dalam perlawanan terakhir mereka dan menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan sebelum itu.

“Saya harap semua pemain beraksi dengan baik dan mencatatkan kemenangan ke atas TFC.

Rentak kemenangan ke atas Kuala Lumpur (2-0) dan PKNS FC (3-2) perlu diteruskan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pada musim ini kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak tiga kali, sekali dalam aksi Liga Super dan dua kali dalam aksi suku akhir Piala FA. Bagi Liga Super, Pahang berjaya menewaskan Terengganu 3-0 dalam pertemuan pertama mereka di Stadium Darul Makmur pada bulan Februari lalu.

Kedua-dua pasukan kemudiannya diundi untuk bertemu sesama sendiri di peringkat suku akhir Piala FA yang lalu. Terengganu berjaya menewaskan Pahang 2-1 di laman sendiri, tetapi kekalahan 4-0 dalam aksi kedua memberikan peluang untuk Pahang mara ke perlawanan separuh akhir.

 

Kredit foto: Pahang FA

 

Comments