Jangkitan virus influenza melibatkan pemain JDT kini dalam keadaan terkawal

Khairul Nizam Khairul Nizam

Nampaknya semuanya dalam keadaan terkawal.

Setelah digemparkan dengan berita mengenai jangkitan virus Influenza yang melanda kem Johor Darul Ta’azim sehingga menyebabkan perlawanan berdepan Petaling Jaya City terpaksa ditunda, keadaan nampaknya mula bertambah baik.

Setakat ini, menurut Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri Johor, Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din, kesemua sembilan pemain yang dijangkiti virus berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Jabatan ini mengesahkan kejadian kluster Influenza di kalangan pemain JDT. Lapan daripada kes itu disahkan sebagai Influenza B manakala seorang lagi disahkan menghidap Influenza A.

“Mereka sudah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor di sini dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Berita Harian.

Pada 8 Julai lalu, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards melaporkan bahawa seramai 10 pemain daripada pasukan utama JDT, empat dari JDT II, tiga dari JDT III dan beberapa jurulatih serta kakitangan telah disahkan dijangkiti virus Influenza.

Disebabkan itu, perlawanan JDT berdepan Petaling Jaya City telah dipinda untuk berlangsung pada 16 Julai sementara perlawanan berdepan Kuala Lumpur diawalkan ke 13 Julai.

 

 

Kredit foto: Johor Southern Tigers

 

 

Comments