Terengganu sedia lantik Pengarah Teknikal

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedia menyambut saranan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin yang menghendaki semua Persatuan Negeri dan kelab melantik pengarah teknikal.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya sedia maklum mengenai keperluan melantik pengarah teknikal bagi pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia namun belum ada makluman rasmi kepada persatuan negeri.

Menurut laporan daripada laman sesawang Teganukita.net semalam, PBSNT yang sedang giat menggerakkan usaha ke arah penswastaan pasukan Terengganu FC telah mempunyai pelan untuk melantik pengarah teknikal tetapi kekangan kewangan membataskan perlantikan itu buat sementara waktu.

Foto: TFC

“Saya sudah dimaklumkan tentang keperluan untuk mewujudkan Pengarah Teknikal bagi semua pasukan dalam Liga-M, tetapi secara rasminya pihak Malaysian Footbal League (MFL) belum mengeluarkan arahan kepada persatuan bola sepak negeri.

“Sekarang kita juga fokus menuju ‘penswastaan’ persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab (FC), jadi itu yang menjadi fokus kita sekarang,” katanya.

Tambah Hishamuddin lagi, usaha untuk melantik pengarah teknikal bagi pasukan Terengganu FC telah dibincangkan pada penghujung tahun lalu. Bagaimanapun, sekiranya perlantikan tersebut dijadikan mandatori bagi kesemua persatuan negeri dan kelab, pihaknya bersedia untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Tetapi apabila ada arahan daripada MFL sendiri, perkara itu akan kita sambut dan fikir jalan terbaik untuk melaksanakannya, ideanya telah ada,” tambahnya.

Foto: Terengganu Football Club

Comments