SSMZA bakal jadi stadium bola sepak sepenuhnya

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) khusus untuk kegunaan sukan bola sepak sepenuhnya selepas daripada ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah ketika melawat stadium berkenaan, semalam.

Beliau berkata kepada Teganukita.net, “Mengenai trek di sini pula, kita akan cabut dan letak rumput tiruan, tiada trek olahraga di stadium ini dan SSMZA hanya khusus untuk sukan bola sepak,”

Ketika ini, SSMZA sedang giat melakukan proses baik pulih padang dengan kerjasama daripada Malaysian Football League (MFL) dan ianya menelan belanja RM1 juta.

Projek baik pulih tersebut merangkumi baik pulih sistem saliran, meratakan padang dan penanaman rumput jenis Bermuda Princess 77. Menurutnya, projek tersebut telah siap 80% dan dijangkan siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.

Bagaimanapun, pasukan Terengganu FC dan Terengganu FC II tidak dapat menggunakan lagi stadium ini pada saingan Piala Malaysia 2019 dan Piala Cabaran 2019, ianya akan digunakan seawal-awalnya pada musim baharu Liga Malaysia 2020 kelak.

“Kita jangka proses tambah baik ini siap pada September, namun kita tidak akan terus menggunakan padang ini, sebaliknya akan menunggu dalam sedikit masa supaya struktur padang ini benar-benar kukuh.

“Selepas tempoh itu insya-Allah padang di SSMZA ini siap untuk diguna pakai dalam sebarang pertandingan bola sepak,” jelasnya.

Foto: MSNT

Pada masa yang sama, pihaknya sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor mengenai tempat duduk penonton di stadium berkenaan. Bagaimanapun, kerajaan Negeri Terengganu tiada perancangan untuk membina bumbung baharu dalam masa terdekat.

“Selepas kita dapat surat jaminan itu, barulah kita akan berbincang untuk membina bumbung, tetapi untuk tempoh satu hingga dua tahun ini dengan mengambil kira kos, soal bumbung tidak berbangkit.” tambahnya lagi.

Untuk makluman, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan sebuah stadium pelbagai guna yang mula dibina pada tahun 2006 dan dibuka pada tahun 2008 untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2008. Ia mempunyai 50,000 tempat duduk tunggal selain daripada kemudahan parkir dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud.

Foto: Majlis Sukan Negeri Terengganu

Comments