Semangat juang Terengganu FC memang ‘lain macam’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Di sebalik kegagalan Terengganu FC meneruskan momentum kemenangan apabila diikat barisan 10 pemain Kedah dengan keputusan 2-2 dalam aksi Liga Super pada Selasa lalu, ayam tambatan pasukan itu Kipre Tchetche memuji semangat juang sehingga minit akhir ditunjukkan rakan sepasukannya.

Pemain dari Ivory Coast itu bukan sahaja merujuk kepada jaringan penyamaannya pada masa kecederaan yang menyelamatkan satu mata buat Terengganu FC ketika menentang Kedah, tetapi sebelum itu ketika menentang PKNS FC mereka beroleh gol kemenangan pada minit ke-88 manakala ketika menewaskan Kuala Lumpur, dua gol terhasil dalam 15 minit terakhir.

Justeru itu, dia mengharapkan semangat yang sama dapat diterjemahkan dalam baki perlawanan menentang Pahang dan kemudiannya juara Liga Super, Johor Darul Takzim di dalam memastikan Terengganu FC dapat menamatkan musim di kedudukan yang lebih baik berbanding musim lalu.

Pada musim 2018, Terengganu FC menamatkan saingan di tangga kelima di belakang Johor Darul Takzim (JDT), Perak, PKNS FC dan Pahang manakala ketika ini mereka berada di tangga ketujuh dengan 28 mata, dua mata di belakang Perak dan tiga mata di belakang Selangor serta Kedah.

“Memang nampak seperti sukar untuk memperbaiki atau mengulangi pencapaian tahun lalu (tempat kelima), tetapi tidak mustahil kerana jarak antara pasukan tangga ketiga hingga ketujuh tidaklah terlalu jauh, sekitar dua ke empat mata sahaja, jadi peluang itu tetap ada.

“Malah melihat kepada tiga aksi terakhir, kami seperti bermain dengan satu semangat baru, tidak menunjukkan sikap putus asa walaupun sudah berada di penghujung permainan.

“Ini adalah apa yang perlu kami tunjukkan dalam baki perlawanan, saya sedar kita akan berdepan dua pasukan terbaik liga bermula dengan Pahang (12 Julai) dan kemudiannya JDT (19 Julai) dalam aksi penutup tirai, tetapi kami perlu mempunyai kepercayaan.

“Kita pernah menewaskan Pahang sebelum ini (Piala FA) di gelanggang sendiri, kenapa kita tidak boleh melakukannya sekali lagi. Selagi peluang itu ada, selagi itu kita jangan berputus asa,” ujar Kipre yang setakat ini telah menjaringkan enam gol dalam Liga Super.

 

Foto : MFL

Comments