Nidzam Jamil anggap perlawanan bertemu PKNP ibarat satu perlawanan akhir untuk Felda

Khairul Nizam Khairul Nizam

Mula di tangga terbawah, kini nasib di tangan mereka sendiri.

Kejayaan Felda United membenam Kuala Lumpur di Cheras memberikan harapan untuk mereka menyelamatkan diri daripada tersingkir. Nasib pasukan kendalian Nidzam Jamil ini bakal ditentukan dalam perlawanan berdepan satu lagi pasukan yang sedang berusaha mengelak penyingkiran, PKNP FC pada hujung minggu ini.

Bagi Nidzam, dia mengharapkan anak buahnya akan terus beraksi seperti ketika mereka menumpaskan KL dan menganggap pertemuan bertemu PKNP nanti ibarat satu lagi ‘final’ buat mereka.

“Kami perlu fokus pula kepada perlawanan berdepan PKNP, satu lagi ‘perlawanan akhir’ untuk kami. Kami sudah berjaya tewaskan KL biarpun mereka memberi tentangan sengit. Dari segi taktikal ianya tidak terlalu rumit, tetapi kami sebenarnya cuba bermain seperti ini di setiap perlawanan. Dalam bolasepak banyak perkara memainkan peranan. Ianya bukan matematik mudah yang senang untuk dikira. Saya gembira dengan persembahan pemain serta tiga mata pada malam ini, jadi saya perlu lihat esok (Khamis) bagaimana keadaan pemain terutamanya jika ada kecederaan menjelang perlawanan berdepan PKNP nanti”

Felda berjaya menundukkan KL biarpun tanpa kelibat dua pemain utama mereka, iaitu ketua pasukan Hadin Azman dan pemain pertahanan, Masaki Watanabe. Tetapi itu bukanlah perkara yang mahu ditekankan oleh Nidzam yang mahu memberi pujian kepada pemain-pemain muda Felda, terutamanya Jadid Ilias yang beraksi baik untuk mengekang asakan pemain serangan Kuala Lumpur.

“Saya kurang pasti jika Hadin sempat pulih sebelum perlawanan berdepan PKNP. Tapi saya perlu sebut mengenai Jadid (Ilias). Dia seorang pemain pertahanan tengah. Perlawanan pertamanya adalah berdepan Kedah dan dia beraksi 90 minit. Perlawanan kedua berdepan Perak dan beraksi di bek sayap dan perlawanan ini beraksi di bek kanan. Tahun pertama di Liga Super, seorang pelajar di UPSI. Dia mempunyai satu karakter yang saya rasa sukar untuk saya dapat di mana-mana. Susah untuk seorang pemain yang tidak pernah beraksi di Liga Super, beraksi menentang Kedah, Perak dan KL. Tiga perlawanan yang dia berikan pada saya, saya sangat berpuas hati. Jadid, Ahmad Tasnim dan Zahril adalah pemain yang memacu dan selalu menggerakkan kami. Tanpa mereka, sukar untuk Felda. Saya harap mereka akan sentiasa mempunyai dedikasi yang tinggi sepanjang masa biarpun berdepan keadaan sukar.”

Felda United kini terikat 15 mata dengan PKNP FC dan cuma dibezakan oleh perbezaan jaringan. Namun begitu, Felda United beraksi kurang satu perlawanan berbanding PKNP dengan perlawanan mereka bertemu Pahang telah dijadualkan untuk berlangsung pada 17 Julai nanti.

 

Kredit foto: Felda United FC

Comments