“Kami perlu harapkan keajaiban dalam baki dua perlawanan lagi” – Rosle Md Derus

Khairul Nizam Khairul Nizam

Hanya keajaiban yang dapat menyelamatkan Kuala Lumpur daripada terhumban ke Liga Perdana musim hadapan.

Selepas kekalahan 2-0 di laman sendiri kepada Felda United, Rosle Md Derus berdepan tugas mustahil untuk membantu Kuala Lumpur kekal bersaing di Liga Super musim hadapan dengan perlawanan hanya berbaki dua sahaja lagi.

Bagi Rosle, dia memang sedar akan kesukaran tugasnya itu dan hanya mampu mengharapkan yang terbaik buat KL dalam perlawanan mereka berdepan Johor Darul Ta’azim dan Perak selepas ini.

“Realitinya memang sukar, tetapi kami perlu teruskan juga. Kami mungkin perlu harapkan keajaiban dalam dua perlawanan ini. Kita tengoklah apa yang akan terjadi selepas ini.”

Dalam perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semalam, City Boys kehilangan tiga pemain utama mereka iaitu Irfan Zakaria, Zhafri Yahya dan Darko Markovic yang memberi kesan kepada corak permainan mereka semalam.

“Ketiadaan tiga pemain ini adalah antara faktor prestasi dan keputusan pada malam ini. Saya dan semua pegawai kejurulatihan sudah cuba memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi saya rasa ianya masih tidak cukup untuk membantu pasukan.

“Untuk perlawanan malam ini, dari segi taktikal pada separuh masa pertama kami masih dapat kekalkan. Tetapi selepas kami ketinggalan dan di separuh masa kedua kami mula bercelaru di bahagian tengah serta bahagian serangan terdesak untuk menjaringkan gol. Banyak kesilapan individu yang pemain lakukan. Saya berpuas hati dengan komitmen pemain, tetapi ianya tidak cukup untuk kami mencatat kemenangan.”

Dengan kekalahan itu, Kuala Lumpur kini jatuh ke tangga tercorot Liga Super dengan 14 mata. Jika KL tewas kepada JDT dan salah satu daripada Felda atau PKNP berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan di antara mereka, City Boys akan secara rasmi tersingkir daripada Liga Super.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments