Tan Cheng Hoe yakin mampu ‘jinakkan’ Liridon, De Paula

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menjadikan Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula sebagai pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan menimbulkan bantahan oleh penyokong bola sepak tempatan.

Antara alasan yang disuarakan adalah pemain tengah yang turut mesra dipanggil Matdon itu mempunyai masalah disiplin serta keras kepala. Hal ini dilihat oleh penyokong ketika pemain kelahiran Kosovo itu beraksi bersama pasukan Kedah beberapa musim dahulu dan Melaka, pada musim ini.

Namun, ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak gusar dengan perkara tersebut dan yakin dapat mengawal kedua-dua pemain ini, lebih-lebih lagi Liridon Krasniqi pernah menjadi pemainnya ketika beliau mengemudi pasukan Kedah dari tahun 2014 sehingga 2017.

“Saya boleh kawal mereka,” itu reaksi balas oleh Tan Cheng Hoe di dalam Stadium Astro.

Foto: FAM

Tambahnya lagi, pihak FAM telah membuat permohonan bagi mendapatkan taraf kerakyatan buat kedua-dua pemain itu dan beliau selaku ketua jurulatih Harimau Malaya hanya menunggu sahaja keputusan daripada permohonan tersebut.

Sekiranya lulus untuk mendapatkan taraf kerakyatan sebagaimana Mohamadou Sumareh, beliau bersedia untuk memasukkan kedua-dua pemain tersebut dalam perancangannya di dalam skuad kebangsaan.

“Apa yang penting, FAM sudah meminta kerakyatan untuk kedua-dua pemain itu.

“Kita tunggulah bagaimana keputusan tersebut.

“Jika ia positif, saya akan melihat bagaimana untuk mengawal kedua-dua pemain itu,” katanya.

Foto: Kuala Lumpur Hawks

Manakala, Guilherme de Paula yang pernah menyarung jersi Selangor dan Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) mendapat kritikan oleh para penyokong sebagai ‘kuda tua’ dan tidak menguntungkan untuk diberikan taraf kerakyatan serta dipilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Namun, Tan Cheng Hoe berpendirian bahawa kehadiran De Paula dalam kem kebangsaan dapat memberikan penyelesaian kepada masalah ketiadaan penyerang tulen No.9 disamping memiliki fizikal yang diperlukan untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“De Paula daripada segi penyudah dan fizikal, dia mampu menyelesaikan masalah kami di bahagian serangan.

“Liridon pula mempunyai karakter yang baik di atas padang.

“Dia mempunyai sikap tidak mengaku kalah dan mempunyai kerajinan yang tinggi,” tambah Cheng Hoe lagi.

Foto: Melaka United Soccer Association

Comments