Mehmed tersenyum puas menang ke atas Red Giants

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic tersenyum puas selepas pasukannya berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Selangor dalam pertemuan ke-20 Liga Super Malaysia, semalam.

Sungguhpun Selangor berjaya mendahului sebanyak dua kali iaitu menerusi Taylor Regan pada minit ke-29 dan Endrick dos Santos pada minit ke-42, semangat melawan yang menakjubkan skuad The Bos Gaurus berjaya mengejar dan memastikan tiga mata penuh dipungut dalam perlawanan tersebut.

“Saya sangat gembira, sangat sangat gembira.

“Bukan senang, kami tidak memiliki skuad yang besar. Awak boleh lihat pemain-pemain berikan 100% pada malam ini untuk melakukan ‘comeback’,” kata Mehmed Durakovic kepada para wartawan.

Pada masa yang sama, pengendali Australia itu turut memuji kualiti pasukan Selangor dalam aksi tersebut. Beliau mengaku sukar untuk anak buahnya menghadapi perlawanan tersebut lebih-lebih lagi dalam keadaan tertinggal setelah melakukan dua kesilapan dalam babak pertama.

Foto: Perak TBG

“Selangor merupakan pasukan yang bagus, memiliki pemain import yang bagus, pemain tempatan yang bagus, barisan kejurulatihan yang bagus, ia bukan satu perkara mudah untuk menewaskan mereka.

“Tetapi, syukur, pemain-pemain saya berhak untuk menang, kami bermain dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama. Kami melakukan dua kesilapan yang menjurus kepada jaringan gol tetapi semangat untuk melawan pasukan ini sangat menakjubkan. 

“Untuk mengejar daripada ketinggalan bukan mudah. Kami juga merupakan pasukan yang bagus. Saya sangat gembira.” ujar Mehmed.

Dengan penuh kegembiraan dan kelegaan, beliau mahu anak buahnya meraikan kemenangan tersebut bersama rakan-rakan dan keluarga, mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum bersedia untuk perlawanan liga seterusnya, pada penghujung minggu ini.

Untuk aksi seterusnya, mereka akan berkunjung ke Alor Setar untuk menentang pasukan yang berada di tangga ke-4 liga, Kedah. Perlawanan tersebut dijadualkan pada 13 Julai, Sabtu ini.

Foto: Malaysian Football League

Comments