Lima Perkara: Felda United ajar Kuala Lumpur di Cheras

Khairul Nizam Khairul Nizam

Misi hidup mati bagi kedua-dua pasukan.

Kuala Lumpur dan Felda United memerlukan kemenangan dalam perlawanan ini untuk memastikan tempat mereka di Liga Super musim hadapan.

Dengan perlawanan berdepan JDT dan Perak selepas ini, KL nampaknya boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super selepas Felda berjaya menundukkan mereka 2-0 menerusi jaringan Khairul Amri dan Zahril Azri. Ini Lima Perkara berkenaan perlawanan tadi.

 

1. Fakri Saarani pertama kali beraksi dalam kesebelasan utama

Nampaknya bahagian tengah Kuala Lumpur berdepan masalah dalam perlawanan ini. Tiada Darko Markovic, Zhafri Yahya dan juga Irfan Zakaria dalam perlawanan ini yang menyaksikan Fakri Saarani buat pertama kali berada dalam kesebelasan utama. Luke Woodland kembali ke posisi pertahanan dengan Alif Samsudin bermain sebagai pemain tengah bertahan. Alif nampaknya sering bersendirian di bahagian tengah dengan Indra Putra dan Paulo Josue banyak membantu serangan. Jika KL diserang, dua pemain sayap, Ashri Chuchu dan Fakri akan masuk ke dalam bagi membantu Alif.

 

2. Tiada Hadin dan Masaki untuk The Fighters

Jika Kuala Lumpur kehilangan tiga pemain, Felda United pula tidak dapat menurunkan ketua pasukan mereka, Hadin Azman dan Masaki Watanabe di pertahanan. Khairul Amri, S. Chanturu dan Christie Jayaseelan bakal menguji barisan pertahanan Kuala Lumpur dengan kepantasan mereka. Khairul Amri menjadi ‘focal point’ serangan Felda dan seperti dijangka dikawal ketat oleh Noh Haeng Sok dan Luke Woodland. Ini memberikan peluang kepada Christie dan Chanturu untuk cuba melakukan larian dengan barisan tengah banyak membuat hantaran kepada dua pemain ini.

 

3. Tak bolos, tak KL

Kuala Lumpur memulakan permainan dengan trio serangan mereka menekan barisan pertahanan Felda sekerap mungkin. Ketangkasan Norazlan dan kekukuhan Thiago Aquino banyak membantu untuk menghalang KL daripada menjaringkan gol. Tapi KL memang tidak boleh berada di kedudukan 0-0 kerana mereka memang bagai sudah diduga bakal bolos. Itulah yang berlaku apabila kekeliruan di bahagian pertahanan memberikan Khairul Amri untuk memberikan gol pendahuluan kepada Felda United. 

 

4. Felda bijak kekang KL, berjaya tambah gol

Di separuh masa kedua, Felda bagaikan sudah dapat menghidu kelemahan KL di bahagian tengah. Mendahului 1-0, mereka tahu KL akan meninggalkan ruang yang besar di bahagian tengah. Dengan barisan pertahanan KL mula bermain lebih tinggi, Christie dan Chanturu mendapat ruang besar untuk berlari. Barisan pertahanan Felda tiada masalah mengekang serangan KL. Thiago juga mudah mengawal De Paula. Sukar untuk melihat gawang mereka dibolosi dan kini tinggal untuk Felda menjaringkan gol. Itulah yang berlaku, apabila Zahril Azri yang tidak dikawal merembat kencang untuk menewaskan Faridzuean. Selepas jaringan kedua itu, tugas Felda hanya untuk bertahan.

 

5. KL boleh ucap selamat tinggal Liga Super?

Mungkin tidak terlalu awal untuk mengatakan bahawa KL kini sudah pasti akan ke Liga Premier musim hadapan. Kekalahan mereka pada malam ini adalah hasil kecelaruan mereka daripada awal musim lagi. Biarpun memiliki barisan pemain yang boleh dikatakan lebih baik daripada Felda, tetapi kesungguhan pemain Felda mengatasi nama besar.

Bagi Felda, mereka kini hanya perlu menewaskan PKNP dalam perlawanan seterusnya untuk terus mengejar misi kekal. Kemenangan ke atas KL ini sudah pasti akan menjadi motivasi terbaik buat anak buah Nidzam Jamil melalui baki perlawanan yang ada.

 

Kredit foto: MFL

Comments