Lima Perkara: Perak sekat hajat Selangor kutip mata di Ipoh

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Aksi penuh rancak disajikan oleh kedua-dua pasukan. Babak pertama, sebanyak empat gol dijaringkan dan menjadikan kedudukan terikat 2-2. Taylor Regan, Fandi Othman (gol sendiri), Endrick dos Santos dan Leandro dos Santos mencatat nama selaku penjaring.

Separuh masa kedua pula, Perak berjaya memperolehi satu lagi jaringan menerusi Careca. Dan kedudukan 3-2 tidak berubah sehingga tamat permainan.

,Berikut adalah lima perkara daripada perlawanan ini:

#1 Perak dan Selangor masing-masing buat dua perubahan

Pertembungan pada pertengahan minggu ini menyaksikan Mehmed Durakovic dan B. Satiananthan melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing berbanding aksi liga pada hujung minggu lalu.

Perak XI vs Selangor. Grafik: Perak TBG

Di pasukan Perak, kedua-dua bek kiri dan kanan iaitu Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan kembali mengisi kesebelasan utama menggantikan Rafiuddin dan Idris. Posisi midfield masih kekal dengan duo Brendan Gan dan Leandro dos Santos. Norhakim Hassan dan J. Partiban di bahagian sayap sementara Careca dan Ronaldo sebagai penyerang.

Selangor XI vs Perak. Grafik: FA Selangor

Pasukan pelawat, Selangor pula membarisi K. Sarkunan dan Namathevan. Faiz Nasir dan Khyril Muhymeen digugurkan daripada kesebelasan utama. Menariknya, dengan kemasukan dua pemain ini, Coach Satia menolak Endrick dos Santos ke sayap kiri, manakala Syahmi Safari kembali digunakan di bahagian sayap kanan.

#2 ‘High pressing’ Perak sukarkan Selangor rencanakan serangan

Inilah yang berlaku sepanjang 45 minit pertama. Dipimpin oleh duo midfield yang begitu bertenaga, Brendan Gan dan Leandro dos Santos, Perak memberikan tekanan kepada Selangor. Hasilnya, Selangor seringkali gagal untuk menyimpan bola dengan agak lama, apatah lagi cuba untuk merencanakan serangan. Hanya beberapa kali sahaja Selangor dapat menuju ke arah gawang Perak, kebanyakkannya menerusi serangan balas pantas. ‘Pressing’ sedemikian juga menyebabkan Perak banyak mendapat peluang merampas bola seterusnya melancarkan serangan terutamanya menerusi J. Partiban dan Norhakim Hassan di kedua-dua bahagian sayap.

#3 Empat jaringan babak pertama berpunca daripada ‘kesilapan’


Babak pertama berkesudahan dengan keputusan 2-2. Sungguhpun Selangor kelihatan bergelut untuk merencanakan serangan, mereka terlebih dahulu mendahului dengan mengambil kesempatan di atas kekalutan di dalam kotak penalti pada minit ke-29. Gol pertama Perak pula hadir pada minit ke-42 menerusi jaringan sendiri oleh Fandi Othman yang gagal mengeluarkan bola di dalam kotak penalti. Selang 3 minit kemudian, kesilapan Amirul Azhan pantas diambil oleh Endrick dos Santos yang bermain di sayap kanan untuk menjaringkan gol kedua Selangor. Perak tidak mudah mengalah, mereka meneruskan serangan. Dan mereka berjaya memperoleh sepakan penalti apabila Norhakim Hassan dijatuhkan dalam kotak penalti. Leandro dos Santos menjadikan kedudukan 2-2.

#4 Selangor cuba lebih ofensif, guna formasi 3-4-3 babak kedua

Melihatkan anak buahnya bergelut untuk merencanakan serangan pada babak pertama, B. Satiananthan membuat keputusan untuk memasukkan Norhakim Isa menggantikan Fandi Othman pada permulaan babak kedua. Tidak lama kemudian, menjelang minit ke-60, Syazwan Zainon pula dimasukkan menggantikan Namathevan. Selangor mahu bermain lebih ofensif dengan dua kemasukan pemain ini. Dan minit ke-77, Latif Suhaimi dimasukkan, melengkapkan tiga pertukaran pemain oleh Selangor. Hasil daripada pertukaran ini, Selangor dilihat bermain dengan formasi 3-4-3. Walaubagaimanapun, ‘high pressing’ yang dimainkan oleh Perak sehingga tamat permainan sememangnya menyukarkan Selangor. Tidak banyak dapat dilakukan mereka untuk mengatasi ‘gameplay’ Perak ini. Tambahan pula, gol ketiga Perak pada minit ke-63 oleh Careca telah mempengaruhi semangat juang Selangor menjadikan percaturan B. Satiananthan kurang menjadi.

#5 Ifedayo Olusegun terperangkap

Mesin cetak gol Selangor, Ifedayo Olusegun tidak dapat menjalankan tugasannya pada malam ini, iaitu menjaringkan gol. Selain daripada kurang mendapat suapan bola daripada rakan sepasukan kerana Selangor bergelut untuk mengatasi ‘high pressing’ Perak, Ifedayo juga banyak terperangkap dengan perangkap ofsaid oleh pertahanan Perak. Lebih kurang 3-4 kali beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Foto: Malaysian Football League

Comments